Pearly-Thinaah lakar kejutan di Osaka

Pearly (kanan) dan Thinaah menewaskan pasangan ranking kedua dunia dari Korea Selatan pada Terbuka Jepun 2022 di Osaka pada Selasa. - Foto FB BAM
Pearly (kanan) dan Thinaah menewaskan pasangan ranking kedua dunia dari Korea Selatan pada Terbuka Jepun 2022 di Osaka pada Selasa. - Foto FB BAM
A
A
A

KEJUTAN beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah pada Terbuka Jepun 2022 apabila menundukkan pasangan ranking kedua dunia dari Korea Selatan, Lee So Hee-Shin Seung Chan di pusingan pertama pada Selasa.

Pearly-Thinaah yang menghuni tangga ke-11 dunia mengecewakan lawan yang merupakan pemenang pingat perak pada Kejohanan Dunia di Huelva 2021 itu 16-21, 21-14, 21-18 dalam tempoh satu jam satu minit di Arena Maruzen Intec, Osaka.

Hasil kemenangan itu pasangan negara dijadual bertemu sama ada Baek Ha Na-Lee Yu Lim (Korea Selatan) atau Ashwini Bhat K-Shikha Gautam dari India di pusingan kedua.

Minggu lalu, Pearly-Thinaah yang meraih emas di Sukan Komanwel Birmingham 2022 terkandas di pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo apabila tewas kepada beregu tuan rumah, Nami Matsuyama-Chiharu Shida 21-16, 21-16.

Turut merakamkan kemenangan ialah beregu wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien yang menewaskan Linda Efler-Isabel Lohau 21-17, 23-21 dalam tempoh 56 minit.

Ia merupakan kemenangan kedua mereka ke atas gandingan Jerman itu selepas pertemuan kali pertama di pusingan pertama Kejohanan Dunia, minggu lalu.

Dalam pada itu, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei pula menundukkan rakan seperjuangan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei, 23-21, 22-24, 21-17 dalam satu pertarungan sengit yang berlangsung selama satu jam empat minit.

Bagaimanapun skrip berbeza buat satu lagi wakil negara, Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing yang ditunjukkan jalan keluar oleh beregu China, Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting apabila kalah 9-21, 14-21.

Artikel Berkaitan:

Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut menerima nasib sama apabila tewas di tangan pasangan di ranking ke-18 dunia dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dalam perlawanan yang berlangsung selama sejam.

Pemenang pingat gangsa Kejohanan Asia di Manila 2022 dan menghuni ranking ke-12 dunia itu kalah 17-21, 21-18, 19-21 pada pertembungan ketiga antara mereka.

Kekalahan itu menyaksikan Shohibul-Bagas kini semakin merapatkan jurang rekod kemenangan kepada 1-2 dalam tiga pertembungan.

Sebelum ini, Sze Fei-Nur Izzuddin menewaskan pasangan itu di Terbuka Indonesia 2021 dan Masters Thailand 2019.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!