Misi sambar Piala Thomas, emas Olimpik
GELARAN dunia sudah dalam genggaman dan kini Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memburu dua lagi gelaran besar di pentas antarabangsa.
Beliau menanam tekad untuk merampas kembali Piala Thomas yang pernah dimenangi skuad badminton negara pada tahun 1992 dan misi memenangi pingat emas pertama Sukan Olimpik.
“Saya ada dua lagi misi sebagai Presiden BAM. Saya sudah mencapai misi pertama. Kami perlu terus bekerja keras untuk mendapatkan semula Piala Thomas dan memenangi emas Olimpik pertama malaysia," katanya.
Malaysia memahat sejarah baharu apabila beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengungguli Kejohanan Badminton Dunia dalam tempoh 45 tahun di Jepun Ahad lalu.
Gandingan sensasi itu mengalahkan pemenang tiga kali Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 21-19, 21-14 pada aksi final beregu lelaki di Tokyo.
Mohamad Norza juga berharap kemenangan Aaron-Wooi Yik akan menyuntik semangat dan memotivasikan seluruh pasukan badminton untuk berusaha ke arah yang lebih hebat.
"Memenangi kejuaraan adalah dorongan besar untuk badminton di Malaysia. Kami berharap dapat meneruskan momentum kemenangan,” ujarnya.
Beliau berharap dapat merangka strategi terbaik dengan segera dan menyediakan pemainnya untuk Piala Thomas dan Sukan Olimpik Paris, kedua-duanya pada 2024.
"Kami perlu merancang strategi kami dengan baik untuk kejohanan akan datang. Kami akan bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan kakitangan kejurulatihan untuk memastikan kami bersedia untuk Piala Thomas dan Sukan Olimpik,” katanya.
Mohamad Norza turut menetapkan sasaran pencapaian terbaik buat skuad badminton negara dalam tempoh dua tahun menjelang kejohanan berprestij tersebut.
“Kami perlu mempunyai sekurang-kurangnya dua pasangan beregu lelaki dalam kelompok lapan terbaik dan seberapa ramai pemain perseorangan lelaki dalam kelompok 16 terbaik.
“Dalam perseorangan, kami mempunyai ramai bintang yang sedang meningkat naik seperti Ng Tze Yong dan Justin Hoh. Mereka menunjukkan tanda-tanda untuk menjadi pemain terbaik dunia.
"BAM juga akan bekerjasama rapat dengan pemain bebas dan membentuk kerjasama padu untuk mencapai matlamat bersama.
"Kami mahu seluruh pasukan maju dan mempunyai seberapa ramai wakil di Sukan Olimpik di Paris,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!