Lelaki Myanmar diberkas, lima kenderaan curi ditemui semula

A
A
A

AMPANG - Polis berjaya menemui semula lima kereta curi di sekitar Lembah Klang susulan penahanan seorang lelaki warga Myanmar di Taman Seri Taming, Kajang pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 24 tahun ditahan kira-kira jam 1.30 pagi dengan rampasan sebuah kereta jenis Proton Iswara.

Menurutnya, susulan itu, kira-kira jam 4 petang, hari yang sama empat lagi kereta jenis Proton Iswara turut berjaya ditemui semula di tepi Jalan Utama Pandan Jaya, Ampang.

"Semakan mendapati kereta terbabit dilaporkan dalam kes hilang di Ampang dan Cheras.

"Siasatan mendapati suspek yang positif dadah itu memiliki empat rekod lampau bersabit jenayah dan narkotik," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, modus operandi suspek adalah mensasarkan kereta model lama yang diparkir di kawasan sunyi.

Katanya, suspek kini direman empat hari sehingga Khamis untuk disiasat bawah Seksyen 379A Kanun keseksaan.

"Jika sabit salah boleh dihukum penjara selama minimum satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam kegiatan suspek sebelum berjaya diberkas pada Isnin.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam kegiatan suspek sebelum berjaya diberkas pada Isnin.