Didenda RM5,000 buat komen jelik terhadap polis trafik

Siong Ping (dua,kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa.
Siong Ping (dua,kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Gara-gara tidak berpuas hati disaman hingga membuat komen jelik di laman sosial Facebook terhadap anggota polis trafik, menyebabkan seorang lelaki dikenakan denda sebanyak RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Lau Siong Ping, 38, selepas dia membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan kepadanya.

Berdasarkan pertuduhan, Siong Ping didapati telah menggunakan akaun Facebook miliknya secara sedar untuk membuat komen palsu dan jelik sifatnya #darkpolice bagi menyakitkan hati terhadap anggota trafik, Zia Azri Kamsani, 31, dan memulakan penghantaran dalam akaun tersebut.

Hantaran itu telah dibaca pada 4 Mac tahun lalu, jam 9 pagi di pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di bawah Seksyen 233(1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan boleh dihukum di bawah akta sama.

Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan, selepas sabitan.

Mengikut fakta kes, tertuduh didapati membuat hantaran tersebut susulan tidak berpuas hati disaman anggota terbabit atas kesalahan lalu lintas pada 3 Mac 2021.

Hantaran itu kemudian tular di Facebook dan dikongsikan 147 pelayar Facebook lain.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan ketika melakukan perbuatan itu dia dalam keadaan emosi marah selain tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM5,000 atau penjara dua bulan jika gagal bayar.

Timbalan Pendakwa Raya dikendalikan Anis Najwa Nazari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!