Maut dalam kebakaran: Ibu belum sedia maafkan pelaku

Hizanawati menunjukkan gambar Muhammad Damin selepas Allahyarham ditemui meninggal dunia dalam kebakaran di sebuah tandas awam terbiar di Bandar Puncak Alam Fasa 3 di sini, pada Ahad.
Hizanawati menunjukkan gambar Muhammad Damin selepas Allahyarham ditemui meninggal dunia dalam kebakaran di sebuah tandas awam terbiar di Bandar Puncak Alam Fasa 3 di sini, pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Ibu kepada remaja lelaki yang meninggal dunia dalam kebakaran di sebuah tandas awam terbiar di Bandar Puncak Alam Fasa 3 di sini, masih belum terbuka hati memaafkan pelaku kejadian meragut nyawa anaknya, Muhammad Damin Mikhail Kamsol, 16.

Hizanawati Abu Bakar, 48, berkata, kejadian itu amat memilukan dan dia memerlukan masa untuk melupakan segala apa yang terjadi.

"Saya mungkin boleh maafkan mereka, tetapi akan mengambil sedikit masa sebab kejadian baru berlaku dan masih bersedih kerana kehilangan insan tersayang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Hizanawati, salah seorang daripada pelaku datang berjumpanya dan berkali-kali memohon maaf serta menyesali perbuatan tersebut.

"Dia (pelaku) ada jumpa saya meminta maaf, tetapi buat masa ini hati saya belum terbuka lagi mungkin kesannya masih dirasai sehingga kini," katanya.

Bagaimanapun Hizanawati berkata, dia reda dengan kejadian menimpa Allahyarham Muhammad Damin dan bersyukur kerana ramai yang memberikan kata-kata semangat.

"Mungkin ajal arwah sudah tertulis, kalau ada di rumah sekali pun, mungkin dia akan meninggal dunia dengan cara lain.

Hizanawati memberitahu, jenazah Muhammad Damin yang juga anak kelima daripada enam beradik selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam, kira-kira jam 6 petang Isnin.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, keluarga menuntut polis menjalankan siasatan menyeluruh berhubung punca sebenar kematian Allahyarham Muhammad Damin.

Pada Ahad Muhammad Damin ditemui rentung di dalam sebuah tandas awam berhampiran sebuah padang pada Ahad.

Ketika kejadian mangsa dikatakan tidur di atas sebuah sofa di hadapan pintu tandas tersebut sebelum kedua-dua suspek menyalakan api di bawah sofa terbabit untuk bergurau.

Berikutan kejadian itu, polis menahan dua remaja berusia 15 dan 16 tahun untuk membantu siasatan berhubung kejadian kebakaran terbabit.

Kedua-dua suspek ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!