Terengganu tidak bubar DUN jika PRU15 tahun ini

Ahmad Samsuri (dua dari kiri) ketika hadir pada Majlis Turun Padang dan Jamuan Rakyat sempena Penyerahan Suratan Hakmilik Tanah dan Notis Borang 5A RTB DUN Pengkalan Berangan di Dewan Sivik Merchang, Marang pada Isnin.
Ahmad Samsuri (dua dari kiri) ketika hadir pada Majlis Turun Padang dan Jamuan Rakyat sempena Penyerahan Suratan Hakmilik Tanah dan Notis Borang 5A RTB DUN Pengkalan Berangan di Dewan Sivik Merchang, Marang pada Isnin.
A
A
A

MARANG - Terengganu memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, DUN Terengganu tidak akan dibubarkan sebelum Mac 2023 walaupun berlaku pembubaran di peringkat Parlimen.

"Kita sedar terdapat usaha di peringkat pusat oleh kepimpinan parti yang kita sedia maklum, mendesak untuk diadakan PRU15 dengan kadar segera.

"Saya ingin tegaskan bahawa Terengganu tidak akan membubarkan DUN sebelum Mac 2023. Ia bermakna, jika pusat membubarkan Parlimen sebelum Mac 2023 maka pilihan raya di Parlimen sahajalah, tidak di peringkat negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Turun Padang dan Jamuan Rakyat sempena Penyerahan Suratan Hakmilik Tanah dan Notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) DUN Pengkalan Berangan di Dewan Sivik Merchang di sini pada Isnin.

Ahmad Samsuri berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus mengatakan PRU15 mungkin dilaksanakan hujung tahun ini.

Naib Presiden Pas itu berkata, langkah sama dipercayai turut diambil oleh dua lagi negeri yang diterajui Pas iaitu Kedah dan Kelantan, malah beliau percaya kepimpinan tertinggi parti turut mengeluarkan arahan sama terhadap negeri-negeri berkenaan.

Katanya, keputusan itu diambil memandangkan tiada keperluan untuk mengadakan PRU15 sebelum tamat tempoh penggal.

Artikel Berkaitan:

"Kita lihat tiada keperluan untuk mengadakan PRU buat waktu ini kerana kita semua baru keluar daripada endemik pada Januari lalu dan aktiviti ekonomi sedang rancak berjalan di mana rakyat mula keluar menjalankan urusan masing-masing sama ada berniaga atau apa-apa juga usaha.

"Jadi sudah tentulah keputusan mengadakan pilihan raya dan membentuk suatu keadaan politik baharu yang belum tentu adalah tidak cermat perkiraannya.

"Oleh kerana tempoh penggal masih ada dan rakyat sedang bergerak ke hadapan, biarlah rakyat bergerak ke hadapan dengan pantas serta persoalan pilihan raya itu kemudian,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 437 penduduk menerima suratan hak milik tanah dan borang 5A melibatkan lima kawasan di DUN Pengkalan Berangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!