KeTSA beri kelulusan aktiviti lombong pasir di Yan
ALOR SETAR - Aktiviti pelombongan pasir di kawasan berdekatan beberapa pulau sekitar Yan mendapat kelulusan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) susulan berada dalam perairan kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia bukanlah kegiatan mencuri pasir seperti didakwa segelintir pihak.
Menurutnya, kerajaan negeri telah dimaklumkan menerusi dokumen mengenai aktiviti terbabit yang mana kelulusan diberikan kepada sebuah syarikat di kawasan pelantar yang dibenarkan.
“Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kedah sudah beri laporan kepada saya mengenai perkara ini, kelulusan aktiviti adalah daripada KeTSA.
“Ada had tertentu iaitu perlu melebihi tiga batu nautika dari kawasan pulau kerana ini merupakan sempadan perairan hak milik kerajaan negeri. Selepas tiga batu nautika, ia adalah perairan bawah kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang akhbar selepas penyerahan zakat perniagaan Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) bagi tahun kewangan 2021 bernilai RM1,990,812 kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Wisma Darul Aman di sini pada Selasa.
Muhammad Sanusi tegaskan, menerusi mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO), KeTSA menghantar satu dokumen berhubung kelulusan yang diberikan kepada syarikat berkenaan dan perkara itu diuruskan oleh kerajaan Persekutuan.
“Kita hanya ambil maklum sahaja, ia memang diberikan kelulusan, bukan aktiviti haram," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan dakwaan nelayan termasuk pengusaha bot pelancongan di daerah Yan yang terjejas akibat aktiviti pelombongan pasir berhampiran beberapa pulau sejak minggu lalu.
Aktiviti terbabit dikesan berlaku sekitar Pulau Bidan, Pulau Songsong, Pulau Telor dan Pulau Dayang Bunting dan dibimbangi akan menjejaskan pembiakan ikan dan ekosistem di sekitar kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi kesal kerana terdapat dakwaan oleh pihak tertentu yang tidak tepat seolah menggambarkan kegiatan mencuri pasir berleluasa di kawasan pulau berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!