Empat beranak termasuk bayi maut kemalangan
KOTA TINGGI - Empat beranak termasuk kanak-kanak dan bayi maut dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan sebuah lori di Jalan Kampung Semanggar di sini pada Selasa.
Mangsa yang maut ialah penunggang motosikal, Mohamad Suti Yahaya, 39, dan isterinya, Siti Jamaliah Mohd Yatim, 27, serta anak mereka, Nur Firman Hadi Abdul Rahman, 5, dan Nurfatihah Jannah, berusia sembilan bulan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Husin Zamora berkata, kemalangan berlaku pada jam 1.20 petang melibatkan motosikal Yamaha LC135 ditunggang pasangan suami isteri serta dua anak mereka dengan sebuah lori jenis Hohan.
"Hasil siasatan awal mendapati motosikal dari arah Kota Tinggi ke Kampung Semanggar Dalam dikatakan bertembung dengan lori berkenaan yang datang dari arah bertentangan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Husin berkata, akibat kemalangan itu penunggang dan semua pembonceng motosikal cedera di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, pemandu lori berkenaan yang berusia 31 tahun tidak cedera.
"Semakan mendapati pemandu lori berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan trafik," katanya dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!