Boleh fikirkan imbuhan tambahan
INSENTIF tambahan boleh difikirkan persatuan sukan kebangsaan (NSA) dalam menghargai pencapaian diraih pasangan beregu nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang merangkul gelaran juara Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun pada Ahad.
Malah menurut pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli, Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) yang disediakan sebelum ini memang memadai berdasarkan justifikasi kejohanan tersebut.
“Saya percaya garis panduan yang telah ditetapkan di bawah SHAKAM memang logik dan boleh diterima pakai dengan justifikasi yang ada sebelum ini.
“Badminton bukan setakat Kejohanan Dunia sahaja, tetapi pelbagai kejuaraan terbuka kebanyakan negara hingga ada sampai yang tahap tujuh bintang termasuk Siri Super dan Siri Super Akhir yang dianjurkan setiap tahun dalam kalender Persekutuan Badminton Dunia serta menawarkan hadiah lumayan.
“Jadi prestij kejuaraan badminton dunia ini tidak sama dengan kejohanan khususnya sukan berpasukan lain di dunia yang diadakan antara dua atau empat tahun sekali seperti Sukan Olimpik, bola sepak Piala Dunia, hoki Piala Dunia dan beberapa sukan lagi.
“Cuma mungkin sebab kita belum pernah muncul juara sahaja, tetapi pemain-pemain negara-negara pesaing lain seperti Indonesia, China, Korea sudah beberapa kali menjulang kejuaraan tersebut,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Aaron-Wooi Yik sebelum ini memahat sejarah apabila muncul permain Malaysia pertama bergelar juara dunia selepas 45 tahun apabila menewaskan pasangan dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 dalam perlawanan akhir di Gimnasium Metropolitan Tokyo pada Ahad.
Pekan turut menyarankan agar insentif tambahan boleh digerakkan oleh kerajaan negeri asal kelahiran pemain itu, pihak swasta dan komuniti dalam menghargai pengorbanan atlet negara. Ini memandangkan jumlah insentif sebagai juara dunia dilihat agak rendah jika dikongsi bersama oleh dua pemain tersebut.
“Sebagai contoh, kita lihat juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew sebelum ini pun tidak mendapat insentif dari kerajaan Singapura, sebaliknya ia mendapat insentif hasil inisiatif yang digerakkan di kalangan rakyat Singapura sendiri hingga berjaya mengumpul lebih seratus ribu dolar Singapura untuk dihadiahkan kepada Kean Yew.
“Kejayaan itu semua orang sudah sedia maklum, namun apabila Malaysia buat pertama kali menjuarainya selepas 45 tahun tentunya ia merupakan kemenangan terindah bukan sahaja buat pemain itu tetapi juga rakyat Malaysia.” katanya.
Maka sebab itu Pekan juga turut mencadangkan penambahbaikan SHAKAM supaya lebih relevan dengan situasi semasa.
“Kejuaraan dimenangi Aaron-Wooi Yik merupakan kejohanan berprestij dunia yang sukar untuk diraih. Jadi mari kita semua 'top up' ganjaran untuk Aaron dan Wooi Yik.
“Jadi mungkin kajian semula perlu dilakukan dalam memotivasikan semangat atlet negara untuk berjuang bersungguh-sungguh demi negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!