Harimau Malaya sedia mengaum di Piala AFF 2022
PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon melaungkan amaran bahawa skuad kendaliannya bersedia berdepan dengan lawan saingan Piala AFF 2022 yang bakal menyingkap tirai Disember ini.
Malah pengendali dari Korea Selatan itu percaya pemainnya mampu memberikan persembahan terbaik walaupun mengakui Vietnam antara pasukan pencabar saingan kali ini.
“Ia undian yang baik bagi kami walaupun semua pasukan sangat kuat, namun kami bersedia untuk berjuang.
“Dalam kumpulan ini, saya fikir Vietnam adalah salah satu pasukan paling kuat, sementara Singapura dan Myanmar pasukan yang bagus termasuk Laos.
“Namun perkara paling penting pemain perlu memberikan persembahan terbaik dan mendapatkan keputusan positif setiap perlawanan,” katanya pada Selasa.
Untuk rekod, Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan B bersama juara 2008 dan 2018, Vietnam serta Singapura, Myanmar dan Laos dalam majlis undian di Bangkok, Thailand pada Selasa.
Juara bertahan, Thailand pula diundi dalam Kumpulan A bersama naib juara edisi 2020, Indonesia, Filipina, Kemboja dan pemenang perlawanan kelayakan Brunei menentang Timor Leste.
Gajah Perang melengkapkan kejuaraan keenam edisi Singapura 2020, tahun lalu selepas menewaskan Indonesia dengan agregat 6-2.
Pada edisi itu, Harimau Malaya yang dikendalikan Tan Cheng Hoe gagal melepasi peringkat kumpulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!