Terlalu banyak berpolitik bantut pemikiran rakyat Malaysia

Jahaberdeen (tengah), Mohd Mursyid (kiri) dan Nani Roslan pada program Wacana Sinar edisi ke-363 bertajuk 'Merdeka Bukan Hanya Slogan' yang berlangsung di Studio Sinar Harian Kumpulan Media Karangkraf pada malam Selasa. - Foto SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Jahaberdeen (tengah), Mohd Mursyid (kiri) dan Nani Roslan pada program Wacana Sinar edisi ke-363 bertajuk 'Merdeka Bukan Hanya Slogan' yang berlangsung di Studio Sinar Harian Kumpulan Media Karangkraf pada malam Selasa. - Foto SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Peguam, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos berpandangan terlalu banyak berpolitik berisiko membantutkan pemikiran rakyat Malaysia.

Beliau berkata, masyarakat terutamanya golongan muda seharusnya tidak hanya berterusan terlibat dengan aktiviti politik, sebaliknya fokus pada usaha membangunkan negara.

Jahaberdeen turut mempersoalkan kewajaran negara yang kecil seperti Malaysia mempunyai kabinet yang begitu besar.

“Apabila kabinet begitu besar, saya tertanya-tanya apa yang kementerian buat? Penjawat awamlah yang menjalankan kerja di negara ini. Jadi, kenapa perlunya kabinet yang begitu besar?

“Terlalu banyak politik membantutkan pemikiran rakyat Malaysia, jadi, orang muda harus lari daripada terlalu berpolitik. Fokus pada perkara yang penting dan asas untuk membangunkan negara. Mudah sahaja, apa yang penting untuk semua rakyat ialah makanan, kesihatan dan sekuriti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar edisi ke-363 yang bertajuk 'Merdeka Bukan Hanya Slogan' yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis, Pensyarah Pembangunan Belia Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Mursyid Arshad, manakala Nani Roslan selaku moderator.

Mengulas mengenai kemerdekaan, Jahaberdeen berkata, merdeka bererti negara seharusnya bebas daripada pemerintahan yang bersifat menindas.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, aspek perundangan dapat melindungi rakyat daripada terus ditindas.

“Sebab itu dalam Rukun Negara kita ada kedaulatan undang-undang dan rakyat perlu memahaminya.

“Malangnya, itu pun dah jadi retorik di negara ini. Yang saya kesalkan kita ini banyak berslogan, retorik dan pengulangan perkataan yang bunyi sedap tapi tidak bermakna,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!