Hudson-Odoi teruja sertai Bayer Leverkusen

Hudson-Odoi (kanan) kini menyertai gergasi Bundesliga Jerman, Bayer Leverkusen.
Hudson-Odoi (kanan) kini menyertai gergasi Bundesliga Jerman, Bayer Leverkusen.
A
A
A

KELAB Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea mengesahkan pemain sayap England, Callum Hudson-Odoi dipinjamkan kepada kelab Bundesliga Jerman, Bayer Leverkusen untuk baki musim ini, kata kelab itu pada Selasa.

Bagaimanapun kelab London itu menegaskan mereka mengekalkan hak untuk memanggil semula pemain berusia 21 tahun itu pada Januari.

Hudson-Odoi merupakan pemain gantian yang tidak digunakan di Stamford Bridge oleh Thomas Tuchel dalam setiap perlawanan Liga Perdana musim ini.

Hudson-Odoi sebelum ini mengalami masalah kecederaan yang berpanjangan sejak membuat penampilan sulung senior di Chelsea pada 2018, terutamanya kecederaan tendon achilles yang mengetepikannya selama lima bulan.

Dia tidak beraksi untuk Chelsea sejak The Blues mencatat kemenangan ke atas Luton Town dalam kempen Piala FA pada awal Mac.

“Perpindahan ke Jerman benar-benar mengujakan kerana saya boleh bermain dalam Liga Juara-Juara bersama Bayer Leverkusen.

“Gabungan itu benar-benar menarik dan saya berminat untuk mengenali kelab, penyokong dan Bundesliga,” kata pemain yang telah beraksi lebih 100 kali untuk Chelsea.

Sementara itu, Pengarah Urusan Sukan Bayer Leverkusen, Simon Rolfes menyifatkan Hudson-Odoi sebagai pemain sayap yang pantas.

Artikel Berkaitan:

“Dia mempunyai segala-galanya untuk yang diperlukan kelab bagi menghasilkan keputusan lebih positif dengan segera.

“Kehadiran Hudson-Odoi juga akan memberikan corak permainan serangan kami satu lagi komponen istimewa.

“Sejujurnya kami sangat gembira perpindahan ini berjaya dilaksanakan dengan sempurna,” katanya.

Bayer Leverkusen yang menduduki tempat ketiga dalam Bundesliga musim lalu diundi dalam Kumpulan B Liga Juara-Juara bersama Atletico Madrid, Bruges dan Porto.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!