Pemilihan Al-Sajdah tepat, dekat di hati rakyat

Pemilihan surah Al-Sajdah pada program Malaysia #QuranHour 2022 disifatkan amat tepat dan dekat di hati masyarakat Malaysia pada ketika ini.- Foto Bernama.
Pemilihan surah Al-Sajdah pada program Malaysia #QuranHour 2022 disifatkan amat tepat dan dekat di hati masyarakat Malaysia pada ketika ini.- Foto Bernama.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pemilihan surah Al-Sajdah pada program Malaysia #QuranHour 2022 disifatkan amat tepat dan dekat di hati masyarakat Malaysia pada ketika ini.

Qari, Ahmad Tarmizi Abd Rahman berkata, surah ini mampu menyuntik semangat kecintaan kepada pencipta selain menyemai rasa sayang kepada tanah air sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 pada 31 Ogos ini.

“Surah ini kalau diperhatikan sangat dekat dengan masyarakat (kerana) setiap kali solat Subuh di masjid pada hari Jumaat, akan dibacakan Al-Sajdah dan Al-Insan, tetapi kadang-kadang kita tidak menghayati maknanya. Kalau dihayati, surah ini sebenarnya mampu menyuntik semangat dan menghidupkan hati-hati rakyat dengan maknanya.

“Antara pengajaran pada ayat ini adalah tentang bagaimana ketika manusia sudah dengar dan lihat azab hari kiamat dan kita nak minta kepada ALLAH SWT kembalikan (kita) ke dunia untuk beribadah, masa itu sudah terlambat.

“Jadi untuk memecahkan kesombongan dan ketundukan kepada ALLAH SWT, maka sebab itulah tema surah ini selalu diangkat, untuk mengajak rakyat menghayati, sujud kepada pemilik iaitu Allah SWT,” katanya ketika ditemui selepas program Malaysia #QuranHour 2022 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Selasa.

Program yang mengangkat tema Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama itu diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 dan dilangsungkan secara serentak di seluruh negara bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang.

Sementara itu qari, Ahmad Tirmizi Ali berpandangan, program tersebut memberi mesej yang penting kepada pemimpin dan rakyat supaya mengikis sifat sombong selain sama-sama berganding bahu membangunkan negara.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Tarmizi, Ahmad Tirmizi Ali
Ahmad Tarmizi, Ahmad Tirmizi Ali

"Satu mesej yang begitu besar sempena menyambut Hari Kebangsaan 2022 dan menerusi surah Al-Sajdah, ia memberi mesej kepada kita untuk betul-betul merendah diri di depan ALLAH SWT selain melakukan kebaikan sesama manusia.

"Selain merendah diri sesama umat Islam dan berbuat baik tanpa mengira bangsa, mudah-mudahan kita menjadi rakyat yang berjiwa Malaysia dan cintakan tanah air," katanya.

Menurutnya, program ini dilihat sebagai satu panggilan untuk semua pihak yang 'alpa' dan leka tentang hal duniawi.

"Manusia mempunyai sifat yang mudah lemah dan sering lupa, maka program seumpama ini wajar diperkasakan dan diteruskan kerana ia sebenarnya memberi semangat dan motivasi kepada kita.

"Apabila kita leka, kita akan diperingatkan dengan ayat-ayat al-Quran sekali gus memberi kesedaran untuk terus amalkan membaca ayat suci dan berzikir," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!