Minda, gaya hidup penjajahan bentuk baharu

Muhammad Sanusi (tengah) mengibarkan bendera Jalur Gemilang pada Majlis Ambang Merdeka Hari Kebangsaan ke-65 di Dataran Pekan Rabu, pada Selasa.
Muhammad Sanusi (tengah) mengibarkan bendera Jalur Gemilang pada Majlis Ambang Merdeka Hari Kebangsaan ke-65 di Dataran Pekan Rabu, pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan ancaman penjajahan kini bukan lagi dalam bentuk fizikal tetapi minda dan gaya hidup.

Muhammad Sanusi berkata, pada zaman ini, ancaman penjajahan dalam bentuk baharu walaupun negara Malaysia sudah 65 tahun merdeka

“Ancaman budaya dan pemikiran dipacu oleh kepesatan perkembangan teknologi adalah penjajahan bentuk baharu.

“Jika tidak 'divaksin' dengan kesedaran empat teras iaitu agama, akhlak, pendidikan dan bahasa, ia boleh membawa bangsa dan negara kita terjajah semula,” katanya.

Beliau berucap sedemikian pada Majlis Ambang Merdeka Hari Kebangsaan ke-65 di Dataran Pekan Rabu di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kedah, Datuk Norizan Khazali dan Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Kedah Tahun 2022 merangkap Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Kedah, Mohd Firdaus Ahmad.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat untuk sama-sama menghayati makna kemerdekaan dalam erti kata sebenar dan menterjemahkan penghayatannya dalam sikap dan amalan agar menepati ciri-ciri seorang warganegara benar-benar merdeka.

Hampir 15,000 penduduk Kedah memeriahkan Majlis Ambang Merdeka Hari Kebangsaan ke 65 di Dataran Pekan Rabu, di sini, pada Selasa.
Hampir 15,000 penduduk Kedah memeriahkan Majlis Ambang Merdeka Hari Kebangsaan ke 65 di Dataran Pekan Rabu, di sini, pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi turut berpandangan erti kemerdekaan yang sebenar adalah membabitkan kemerdekaan jiwa dan minda setiap orang.

“Itulah perkara paling penting perlu ada dalam hati sanubari kita iaitu kesedaran untuk membina jati diri yang kukuh sebagai anggota ‘Keluarga Malaysia’ menerusi empat aspek teras itu,” jelas beliau.

Tambah beliau, inilah juga prinsip terkandung dalam tema Hari Kebangsaan negara tahun ini iaitu ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ untuk memastikan rakyat tidak kira agama, bangsa atau pegangan politik untuk bersama-sama mempertahankan tanah air tercinta.

Menurut Muhammad Sanusi, apa yang disebutkan beliau amat penting untuk diterapkan kepada semua warga Malaysia terutamanya generasi muda.

“Dari masa ke masa, generasi bertukar ganti. Mereka yang dahulu pernah hidup dalam era penjajahan, sudah lama 'pergi' Demikian juga mereka yang pernah berjuang, bersabung nyawa menentang penjajahan, kebanyakannya sudah tidak ada lagi.

“Justeru, dalam tangan kitalah, anak-anak merdeka dipertaruhkan masa depan negeri dan negara ini, bagaimana kita mahu mencorakkan tanah air tercinta ini pada masa hadapan,” katanya.

Sebelum itu, hujan renyai-renyai tidak mematahkan semangat lebih 12,000 penduduk Kedah meraikan detik bersejarah sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-65.

Sambutan malam ambang Merdeka itu turut dimeriahkan dengan acara seperti deklamasi sajak, tarian, tembakan bunga api, laungan merdeka serta persembahan artis tempatan, Aris Ariwatan dan Qody Rany.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!