United tekad menang di Stadium King Power
MANCHESTER United tekad meraih kemenangan apabila berdepan Leicester City di tempat lawan pada aksi di Stadium King Power, awal pagi Jumaat ini.
The Red Devils yang masih segar dengan kemenangan 1-0 ke atas Southampton sudah pasti mahu meneruskan rentak positif, manakala Foxes mahu menebus kekecewaan selepas tewas 1-2 kepada Chelsea.
Jurulatih, Erik Ten Hag dijangka mengunakan formasi 4-3-3 dengan beberapa perubahan.
Penjaga gol, David de Gea masih mendapat kepercayaan menjadi benteng terakhir dan mengulangi prestasi cemerlang ketika menentang Southampton.
Benteng ampuh, Raphael Varane dijangka mengetuai barisan belakang dengan Lisandro Martinez mengisi pertahanan kanan dengan Diogo Dalot di posisi kiri.
Pemain baharu United pula Casemiro bakal memperkuatkan bahagian tengah di samping Bruno Fernandes.
The Red Devils juga memerlukan kreativiti pemain Denmark, Christian Eriksen untuk menghasilkan kemenangan ke atas Leicester.
Pemain tengah, Fred pula dijangka memanaskan bangku simpanan, namun mungkin dibawa masuk pada babak kedua jika diperlukan.
Pemain sayap, Jadon Sancho dan Marcus Rashford akan mengasak dari bahagian tepi, manakala Cristiano Ronaldo dijangka memimpin bahagian depan.
United tewas 2-4 di Stadium King Power Oktober lalu ketika dikendalikan Ole Gunnar Solskjaer.
Dalam pada itu, pengurus Leicester City, Brendan Rodgers berharap pemain perancangnya, James Maddison akan kembali cergas untuk berdepan United.
The Foxes menduduki tangga tercorot dengan hanya satu mata selepas tewas tiga daripada empat perlawanan.
Bercakap ketika sidang media semalam, pengendali dari Ireland Utara itu berkata;
"Kesemua pemain kami berlatih dan boleh diturunkan. Begitu juga Maddison. Kami akan tunggu perkembangannya sehingga esok."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!