Padah berkonvoi tanpa lesen, remaja ditinggal rakan di SJR

Sebanyak 460 saman dikeluarkan JSPT Kuala Lumpur atas pelbagai kesalahan.
Sebanyak 460 saman dikeluarkan JSPT Kuala Lumpur atas pelbagai kesalahan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Niat seorang remaja berkonvoi sekitar ibu negara sempena ambang merdeka terbantut apabila dia ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak di sini, lewat malam Selasa.

Difahamkan remaja lelaki berusia 19 tahun itu bersama beberapa rakannya dalam perjalanan dari rumah mereka di sekitar Titiwangsa menuju pusat beli-belah Suria KLCC sekitar jam 11.30 malam.

Nasib remaja terbabit bertambah malang apabila dia ditinggalkan rakan-rakannya selepas ditahan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur kerana menunggang motosikal tanpa lesen.

Difahamkan, JSPT Kuala Lumpur mengeluarkan sebanyak 460 saman dan menyita 22 buah motosikal yang telah diubah suai, manakala tujuh samseng jalanan turut ditahan sepanjang Op Ambang Kemerdekaan ke-65 di beberapa laluan utama di sekitar ibu kota.

Salah satu motosikal yang dirampas kerana mengubah suai ekzos.
Salah satu motosikal yang dirampas kerana mengubah suai ekzos.

Pada masa sama, sebanyak 111 kenderaan dikenakan saman oleh pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang turut serta dalam operasi penguatkuasaan tersebut.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian bersama pegawai JSPT Kuala Lumpur sekitar jam 11 malam hingga 12 tengah malam mendapati aliran trafik menuju ke Dataran Merdeka dan beberapa kawasan tumpuan di ibu negara sesak teruk.

Ribuan warga Lembah Klang membanjiri ibu negara terutama di sekitar Dataran Merdeka dan berhampiran pusat beli-belah Suria KLCC untuk melihat bunga api.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai mula bersurai sekitar jam 12.30 tengah malam apabila menyedari tiada pertunjukan bunga api berlangsung.

Aliran trafik di sekitar ibu negara sesak teruk berikutan ribuan warga Lembah Klang membanjiri kawasan tumpuan di Kuala Lumpur.
Aliran trafik di sekitar ibu negara sesak teruk berikutan ribuan warga Lembah Klang membanjiri kawasan tumpuan di Kuala Lumpur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!