Pekerja bantuan bantu Hamas dijel 12 tahun
BEERSHEBA - Sebuah mahkamah Israel pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas seorang pekerja bantuan Gaza selepas dia didapati bersalah atas tuduhan membantu kumpulan Hamas.
Lelaki itu, Mohammed el-Halabi merupakan Pengarah World Vision ditangkap pada tahun 2016 dan dituduh mengalihkan berpuluh-puluh juta dolar kepada kumpulan Hamas yang memerintah Gaza.
Perbicaraan dan penahanannya yang berpanjangan telah mengeruhkan lagi hubungan antara Israel dan pertubuhan kemanusiaan yang memberikan bantuan kepada penduduk Palestin.
Hukuman itu berkemungkinan akan terus menjejaskan hubungan tersebut, lapor Arab News.
Menurut peguam el-Halabi, Maher Hanna, tempoh hukuman penjara itu sukar untuk dipercayai.
Pekerja itu dan World Vision telah menafikan dakwaan tersebut dan audit bebas yang dilakukan pada tahun 2017 juga tidak menemui bukti sokongannya terhadap Hamas.
Australia, yang merupakan penderma tunggal terbesar kepada kerja-kerja kemanusiaan World Vision di Gaza turut membuat kesimpulan yang sama.
Dalam satu kenyataan, World Vision berkata bahawa hukuman itu berbeza dengan bukti dan fakta kes itu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!