140 penunggang motosikal ditahan pada malam ambang merdeka
ALOR SETAR - Keterujaan sekumpulan remaja meraikan malam ambang merdeka tidak lama apabila ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Darul Aman di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, seramai 140 remaja berusia belasan hingga 20-an yang terdiri daripada penunggang dan pembonceng motosikal ditahan sekitar jam 2.30 pagi dalam operasi itu.
Menurut beliau, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar melakukan pemantauan sejam lebih awal di lokasi sebelum melakukan kepungan.
"Sebaik menyedari kehadiran polis di situ, kumpulan penunggang motosikal yang berkumpul di kawasan itu cuba beredar.
"Bagaimanapun, kita menahan sebanyak 109 motosikal dan dibawa balik ke Unit Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk pemeriksaan," katanya pada pemberita pada Rabu.
Ahmad Shukri berkata, sebanyak 107 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik selepas pemeriksaan dilakukan ke atas 109 motosikal tersebut.
Menurutnya, tidak memiliki lesen memandu dan pengubahsuaian motosikal antara kesalahan paling banyak dikesan dalam operasi itu.
"Sebanyak 22 motosikal turut disita kerana melakukan kesalahan termasuklah cukai jalan tamat tempoh dan status pemilikan meragukan," katanya.
Beliau berkata, sebanyak sembilan kereta turut diperiksa dan dikenakan tindakan saman dalam operasi itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!