211 majikan ditahan lindungi, gaji PATI
SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 211 majikan akibat melindungi dan menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, statistik pada tahun ini setakat 29 Ogos itu menunjukkan tindakan yang diambil hasil pelaksanaan 5,416 operasi di seluruh negara.
Menurutnya, daripada 211 majikan yang ditahan, majoriti adalah warga tempatan iaitu seramai 203 orang diikuti tiga warga Pakistan, Filipina (1), Vietnam (1), Korea (1) dan selebihnya adalah lain-lain negara.
"Pada tahun 2020, seramai 389 majikan telah ditahan manakala tahun lalu membabitkan 206 majikan.
"Mereka yang melindungi atau menggajikan PATI boleh dikenakan denda mencecah RM50,000 di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B akta sama. Selain denda, pesalah turut boleh dikenakan hukuman penjara atau enam kali sebatan jika terlibat dengan kegiatan tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Selain itu, sepanjang tempoh pelaksanaan operasi pada tahun ini juga, imigresen berjaya menangkap 13,524 PATI.
Katanya, mengikut pecahan, tangkapan tertinggi adalah membabitkan warga Indonesia iaitu seramai 6,048 orang diikuti dengan warga Myanmar iaitu 2,093 orang.
"Seterusnya adalah Bangladesh (1,732), Thailand (969), Filipina (718), India (555), Pakistan (366), Kemboja (253), Nepal (246), Vietnam (235) dan selebihnya adalah lain-lain negara," ujarnya.
Tegasnya, mana-mana pihak yang bersubahat melindungi PATI akan dikenakan tindakan tegas. Hukuman berat menanti mana-mana individu, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan majikan yang didapati melindungi golongan itu dan mengambil mereka bekerja tanpa dokumen dan pas yang sah.
"Tangkapan dan pendakwaan terhadap majikan ini membuktikan bahawa kita (imigresen) tidak berkompromi dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang ke atas mereka yang menyalahi akta dan peraturan Imigresen," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!