Layar Merdeka peluang atlet kibar Jalur Gemilang

Sebahagian perahu layar yang mengibarkan Jalur Gemilang di Pantai Tanjung ,pada Rabu.
Sebahagian perahu layar yang mengibarkan Jalur Gemilang di Pantai Tanjung ,pada Rabu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Persatuan Pelayaran Negeri Melaka (MeSSA) mengambil inisiatif menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2022 dengan mengibarkan Jalur Gemilang menggunakan 13 perahu layar yang dinamakan Layar Merdeka.

Komander MeSSA, Ong Tai Chu berkata, ini merupakan satu kelainan pada sambutan kali ini yang membuatkan orang ramai terpukau kemunculan perahu-perahu layar dengan berkibarnya Jalur Gemilang disertai seramai 15 atlet bermula dari Pengkalan Balak hingga ke Tanjung Bidara.

Menurutnya, program dijayakan atlet berusia 13 hingga 18 tahun itu dapat mempupuk semangat patriotik dan cintakan negara dalam diri mereka yang menceburi sukan perahu layar serta pengunjung pantai yang menyaksikan acara tersebut.

"Ini merupakan idea asal jurulatih dan atlet pelayaran yang ingin mengibarkan Jalur Gemilang pada 31 Ogos.

"Secara tidak langsung dapat mempromosikan sukan pelayaran kepada orang ramai yang datang berkelah dan beristirehat sempena cuti umum Hari Kebangsaan sepanjang pantai itu," katanya ketika program Layar Merdeka yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Duyong, Mohd Helmy Abdul Halim di Pantai Tanjung Bidara, pada Rabu.

Sementara itu Mohd Noor Helmy yang juga bapa angkat Kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) Sukan Pelayaran Negeri berkata, beliau menyambut baik usaha murni itu bagi memeriahkan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

"Dengan adanya program ini bukan sekadar kita mengibarkan Jalur Gemilang di kawasan pantai namun dapat mengetahui atlet dan kelengkapan pelayaran sama ada dalam keadaan bersiap siaga untuk berdepan Sukma tidak lama lagi," katanya.

Norlela
Norlela

Artikel Berkaitan:

Seorang pengunjung, Norlela Maarif, 50, dari Serkam, Jasin berkata, dia teruja apabila melihat beberapa buah perahu layar di sekitar pantai dengan membawa Jalur Gemilang.

"Selalu bila sambutan merdeka kita tengok perbarisan di darat tapi kali ini menarik sebab ada perahu layar di lautan," katanya.

Program bermula jam 9.30 pagi itu turut dimeriahkan dengan acara sukaneka dan BBQ.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!