Merdeka tidak bererti jika pemikiran ahli politik masih lapuk
KUANTAN - Tiada maknanya kemerdekaan disambut saban tahun, jika ahli politik masih 'terjajah' dengan pemikiran kepartian sempit, lapuk dan memecahbelahkan.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, kemerdekaan tidak harus dilihat dari sudut fizikal semata-mata, tetapi dari mentaliti dan emosi.
Menurutnya, teguh bersama iaitu tema sambutan pada tahun ini, antara lain menekankan kesatupaduan dan kebersamaan untuk kepentingan masyarakat serta negara.
"Namun, kalau kita lihat masih ada sekatan-sekatan tertentu kepada wakil-wakil rakyat bukan daripada parti pemerintah sesebuah kerajaan. Sekatan itu masih menjadi amalan parti pemerintah di negeri-negeri tertentu.
"Ia jelas menunjukkan betapa 'terjajahnya' pemikiran ahli-ahli politik dengan budaya politik sempit dan lapuk. Ini sebenarnya mencemarkan prinsip demokrasi malah menyusahkan masyarakat sedangkan setiap wakil rakyat dipilih melalui saluran demokrasi yang sah oleh masyarakat di sesebuah kawasan.
"Justeru mereka perlu diiktiraf dan diberikan hak serta keperluan sewajarnya untuk memberi khidmat kepada masyarakat," katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, pada Rabu.
Tambah beliau, pembunuhan karakter dengan politik adu domba bagi tujuan melaga-lagakan dan saling menjatuhkan juga antara budaya yang memberi gambaran buruk.
Tambahnya, perkara ini bukan sahaja dapat dilihat dalam persaingan antara parti, malah di kalangan dalaman parti.
"Hasilnya daripada tindakan negatif itu, menunjukkan politik tidak dipandu dengan penghayatan agama yang sebenar. Kita berpendapat kemerdekaan tidak harus dilihat dari sudut fizikal semata-mata, tetapi juga dari sudut mentaliti dan emosi," katanya.
Andansura yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah berkata, ahli politik perlu bermuhasabah dan memikir sejenak erti kemerdekaan khususnya dalam konteks progresif.
Menurutnya, malah mereka perlu bergerak ke depan dengan mengamalkan budaya politik lebih matang dan sejahtera.
"Politik perseteruan yang memecahbelahkan perlu diganti dengan politik menyatupadukan dan mengharmonikan hubungan sesama komposisi rakyat.
"Justeru, kita perlu bersama terapkan nilai-nilai harmoni, positif dan progresif dalam persaingan politik. Kita mungkin bertentangan pendapat atau fahaman, namun perlu saling mengiktiraf, meraikan dan menghormati.
"Kita harapkan negara ini beransur-ansur bergerak ke depan dengan persaingan politik yang lebih baik dan bebas daripada pemikiran sempit dan lapuk," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!