Sambutan Hari Kebangsaan di Padang Kota meriah
GEORGETOWN - Perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan Ke-65 Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2022 di Jalan Padang Kota Lama, di sini disambut meriah lebih 5,000 pengunjung.
Sebanyak 84 penyertaan kontinjen berjalan kaki daripada pelbagai jabatan, agensi negeri dan persekutuan, badan berkanun serta anak syarikat menjadikan jumlah seramai 4,900 orang.
Selain itu, sebanyak 26 penyertaan bagi kontinjen kenderaan turut mengambil bahagian dalam perarakan dengan penglibatan sebanyak 802 orang dengan 674 buah kenderaan sekali gus menjadikan keseluruhan kontinjen pada tahun ini adalah berjumlah 5,702 orang peserta.
Hadir menyaksikan perbarisan dan perarakan, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd Nor serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Tun Ahmad Fuzi kemudian menyempurnakan pemeriksaan perbarisan dan disusuli dengan acara menaikkan bendera Jalur Gemilang serta Nyanyian lagu Negaraku.
Sambutan berkenaan yang bermula jam 8.30 pagi itu diserikan dengan persembahan koir dan persembahan gendang dari Penang Youth Development Corporation (PYDC), Tarian Bendera Kita dari Majlis Kebudayaan Negeri dan pelajar Politeknik Seberang Perai.
Di samping itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut mempersembahkan Pancaragam Enam Melayu dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Di Raja dan Pasukan Kawalan Kehormatan dari Rejimen Ketiga Kor Armor Di Raja serta dua buah aset kenderaan iaitu Perisai GEMPITA 8x8.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!