Pelancong kagum sambutan Hari Kebangsaan
Warga Turkiye, Zeynep Rana Ustuner, 22, ditemani adik kembarnya Busra Ikbal yang sedang menjelajah Malaysia, menzahirkan rasa kagum mereka terhadap sambutan penuh warna-warni hari ini dan meriah berdasarkan jumlah pengunjung yang luar biasa.
"Hari ini hari yang sangat baik, sangat menyeronokkan, pengunjung sangat ramai dan saya rasa ini kerana kamu (rakyat Malaysia) tidak menyambut hari ini selama hampir dua tahun, jadi kali ini orang ramai boleh berkumpul dan meraikannya," katanya kepada Bernama.
Corinna Remberg, 30, pelawat dari Jerman yang pernah menyaksikan perbarisan Hari Kebangsaan sebelum ini memutuskan untuk sekali lagi menyertai orang ramai dan mengimbau kembali kenangan pada 2015 ketika menetap di ibu negara dalam tempoh yang singkat.
Beliau yang datang bersama suami tidak menyangka melihat semangat rakyat Malaysia yang begitu tinggi dalam meraikan hari bersejarah itu.
"Suasananya sangat bagus, berbeza sambutan di sini dan di Jerman, kami tidak mengadakan sambutan sebegini... jadi sangat menarik untuk menyaksikannya," katanya.
Rodrigo Maroto, 35, kelahiran Sepanyol, yang bekerja dalam sektor kewangan kagum dengan perpaduan dan keharmonian berbilang kaum di negara yang dipamerkan semasa perarakan.
"Sangat bagus, penyelarasan yang hebat, melihat orang yang berbeza dengan pelbagai kumpulan yang berbeza, mereka datang ke sini bersama-sama, dan itu adalah sesuatu yang amat baik tentang negara ini,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!