Lelaki melecur di tangan, kaki ketika selamatkan diri
TAIPING - Seorang lelaki melecur pada bahagian tangan dan kaki dalam kebakaran membabitkan tiga rumah di Taman Kaya di sini pada Rabu.
Kejadian sekitar jam 1.30 petang itu menyebabkan mangsa berusia 42 tahun dihantar ke Hospital Taiping bagi mendapatkan rawatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, mangsa mengalami kecederaan ketika cuba menyelamatkan diri dengan keluar menerusi pintu belakang rumahnya.
Menurutnya, operasi pemadaman terus dilakukan selepas kesemua penghuni rumah teres satu tingkat itu selamat keluar.
"Tindakan pemadaman dilakukan dengan menggunakan aliran air dari tangki jentera dan sumber pili bomba sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya.
"Rumah yang dihuni mangsa musnah 60 peratus manakala kedua-dua rumah bersebelahan masing-masing musnah 10 peratus dan satu peratus," katanya.
Beliau berkata, operasi pemadaman melibatkan 16 anggota dari BBP Taiping dan Kamunting.
Katanya, punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada jam 2.53 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!