GWGF masih dalam proses pendaftaran ROS

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) masih dalam proses pendaftaran parti yang mewakili suara peneroka kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Presidennya, Tan Sri Rozali Ismail berkata, terdapat beberapa masalah teknikal yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum permohonan itu dikemukakan.

Bagaimanapun, katanya, GWGF yakin pendaftaran itu dapat diselesaikan segera sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Kita ada masalah teknikal yang memerlukan semakan terperinci terutama dari segi perlembagaan parti dan yakin masalah ini dapat diselesaikan segera," katanya pada sidang akhbar selepas Program Merdeka Ride dan Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan di Golf Driving Range di sini pada Rabu.

Rozali berkata, parti itu ditubuhkan bagi membawa agenda pembaharuan dan menjadi suara serta membela nasib peneroka di seluruh negara.

Rozali (tiga dari kiri) bergambar semasa Program Merdeka Ride dan Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan di Golf Driving Range di sini pada Rabu.
Rozali (tiga dari kiri) bergambar semasa Program Merdeka Ride dan Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan di Golf Driving Range di sini pada Rabu.

Ditanya mengenai kesediaannya untuk bertanding sebagai calon pada PRU15, Rozali yang juga Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd memberitahu, perkara itu masih di peringkat awal.

"Saya belum membuat sebarang keputusan (sama ada bertanding atau pun tidak)," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, katanya, seramai 100 ahli Kelab Bersekutu 2 Roda (KB2R) berkumpul dan menyertai aktiviti bagi menyemarak rasa cinta pada negara.

Jelas beliau, aktiviti itu diharap dapat memberi semangat dan pemuafakatan dan konsep Keluarga Malaysia dapat disemarakkan sempena ulang tahun kemerdekaan negara.

"Kami tidak mahu ketinggalan untuk sama-sama mengingati sejarah kemerdekaan dan perjuangan insan terdahulu untuk membebaskan negara daripada belenggu penjajahan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!