13 lokasi di Kuala Selangor berisiko banjir akibat air pasang

13 lokasi di daerah Kuala Selangor dikenal pasti berisiko banjir ekoran fenomena air pasang besar. - Foto 123rf
13 lokasi di daerah Kuala Selangor dikenal pasti berisiko banjir ekoran fenomena air pasang besar. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA SELANGOR - Sebanyak 13 lokasi di daerah Kuala Selangor dikenal pasti berisiko banjir ekoran fenomena air pasang besar diramal berlaku selama tiga hari bermula 9 September depan.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan berkata, antara lokasi itu ialah di sekitar Ijok, Jeram, Tanjong Karang dan Parit 4 Sekinchan.

Menurut beliau, kawasan terbabit berpotensi tinggi berlakunya banjir sekiranya hujan berterusan bertembung dengan fenomena air pasang besar.

"Kami dan pelbagai agensi lain sudah bersiap siaga sepenuhnya menghadapi sebarang kemungkinan terutama cuaca tidak menentu ketika ini," katanya ketika ditemui pada program Merdeka Ride dan Kibar Jalur Gemilang di Puncak Alam di sini, pada Rabu.

Mohd Raiz yang juga Pegawai Daerah Kuala Selangor berkata, semua jawatankuasa terlibat termasuk ketua kampung akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa selama 24 jam sepanjang tiga hari fenomena itu.

Jelas beliau, aspek kesiapsiagaan itu turut meliputi logistik dan aset menyelamat serta pemindahan mangsa banjir.

Beliau memberitahu, sebanyak enam lokasi di Jeram berpotensi berlakunya banjir akibat fenomena air pasang besar.

"Kawasan terbabit melibatkan Tambak Jawa, Pantai Remis, Pantai Jeram, Kampung Sungai Janggut, Kampung Sungai Sembilang dan Pekan Sungai Buloh," ujar Mohd Raiz.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, kawasan lain pula meliputi Kampung Sungai Yu, Pekan Tanjong Karang, Parit 4 Sekinchan, Bagan Pasir Tok Adam dan Pekan Kuala Selangor.

Katanya, lebih 20 pusat pemindahan sementara (PPS) dalam keadaan bersedia untuk dibuka sekiranya banjir buruk melanda daerah berkenaan.

"Saya menasihatkan penduduk sentiasa bersiap sedia dan mematuhi semua arahan pihak berkuasa sekiranya diarah berpindah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!