Lynas boleh terus operasi tapi ada syarat tambahan: PM
PUTRAJAYA – Malaysia membenarkan kilang memproses nadir bumi, Lynas Corporation Ltd (Lynas) untuk meneruskan operasi di Gebeng, Pahang tetapi dengan syarat syarikat itu berupaya mengurangkan bahan radioaktif dalam proses pembersihan sisa buangan tersebut.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Kabinet hari ini telah membuat keputusan untuk mengenakan syarat-syarat tambahan terhadap syarikat Lynas melibatkan pengendalian sisa bahan radioaktif agar bahan buangan daripada bahan mentah itu tidak berbahaya.
“Berkenaan dengan Lynas, kami (Kabinet) telah mengenakan syarat-syarat tambahan untuk mereka (Lynas) membersihkan terlebih dahulu sisa bahan mentah radioaktif supaya bahan mentah yang datang ke Malaysia tidak berbahaya.
ARTIKEL BERKAITAN: Sisa buangan Lynas: Kerajaan bekerjasama dengan Australia
“Lynas telah berjanji bahawa pada masa depan sebelum menghantar bahan mentah ke Malaysia mereka akan membersihkannya terlebih dahulu, mereka akan pecahkannya dan mengurangkan beberapa bahan radioaktif dalam kandungan bahan tersebut. Oleh itu, apabila bahan mentah datang ke sini, bahan buangan daripada bahan mentah itu tidak berbahaya.
“Jadi syarikat Lynas ini mereka boleh teruskan operasi, jika mereka berjanji bahawa bahan mentah yang dari Australia yang akan dibawa masuk ke Malaysia hanya selepas ia dibersihkan,” kata Dr Mahathir ketika sidang media di Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Dua hari lalu, Menteri Alam Sekitar Australia, Melissa Price mengesahkan telah menerima surat daripada Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis bahawa Malaysia meminta Australia untuk menerima 450,000 tan metrik sisa daripada kilang Lynas yang beroperasi, di sini.
Melissa bagaimanapun, tidak dapat mengulas lanjut berhubung perkara tersebut sehingga ia dipertimbangkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!