Tiada kes rompakan di Genting Highlands
BENTONG - Polis menafikan kejadian rompakan yang didakwa berlaku di Genting Highlands, di sini seperti yang ditularkan melalui sebuah akaun TikTok pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, rakaman video dalam bahasa 'Hokkien' itu menyebut bahawa pengunjung pusat kasino tidak boleh keluar masuk kerana pintu dikunci.
Menurutnya, antara yang dikatakan perakam video tersebut ialah dia sendiri tidak tahu apa terjadi, mungkin berlaku kes rompakan atau kebakaran.
"Kenyataan lain berbunyi 'apa yang berlaku tidak dapat dipastikan. Ramai bersesak di luar kasino, nak balik ke stesen kereta kabel tidak boleh, semua jalan keluar masuk ditutup.
"Pengunjung yang ingin menempah bilik juga tidak boleh berbuat demikian kerana kaunter ditutup," katanya melalui kenyataan pada Rabu.
Zaiham berkata, pihaknya mengesahkan tiada sebarang laporan polis diterima atau dibuat mana-mana pihak berkaitan kejadian berkenaan.
"Berdasarkan siasatan yang dijalankan juga tiada kes rompakan berlaku sebagaimana yang didakwa dalam video tersebut.
"Orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan sesuatu yang boleh menimbulkan kegusaran dan menjejaskan ketenteraman awam," katanya.
Sementara itu, pihak Resort World Genting dalam notis melalui laman webnya menjelaskan bahawa pengatup kebakaran di pintu masuk SkyCasino terputus disebabkan penggera kebakaran palsu yang tercetus.
Menurut notis yang dikongsikan itu, insiden tersebut berlaku pada Selasa dan berjaya diselesaikan dalam tempoh 15 minit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!