Tuck kongsi kegembiraan, sah warganegara Malaysia
PEMAIN kelab Liga Malaysia (Liga-M), Sri Pahang FC, Lee Tuck berkongsi kegembiraan Hari Kebangsaan ke-65 apabila mengesahkan kini memiliki status warganegara Malaysia.
Pemain tengah berusia 34 tahun dari Halifax, England membuat pengesahan itu menerusi kenyataan di laman Instagram miliknya, pada Rabu.
“Saya berterima kasih kepada pemilik Sri Pahang FC, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan pengurusan kelab itu yang sentiasa menyokong sepanjang proses mendapatkan status kewarganegaraan.
“Hari ini, saya akhirnya dan secara rasmi boleh mengatakan saya adalah warganegara Malaysia. Saya benar-benar bersyukur mendapat kewarganegaraan Malaysia.
“Ia merupakan satu perjalanan yang sukar dengan membuat pengorbanan untuk sampai ke sini, namun peluang ini yang tidak dapat saya lepaskan," tulis Tuck.
Untuk rekod, Tuck mewarnai saingan Liga M sejak 2017 dengan menyertai Negeri Sembilan sebelum berhijrah ke Terengganu (2018) diikuti Sri Pahang.
Status terbaharu Lee Tuck menyaksikan Malaysia memiliki tiga pemain naturalisasi termasuk Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!