Orang sakit tambah sakit kawasan hospital jadi tempat merokok
KESEDARAN dan pematuhan rakyat Malaysia terhadap larangan merokok di kawasan serta premis awam masih rendah.
Ini kerana masih ada perokok yang gagal mematuhi peraturan seperti termaktub dalam senarai kawasan larangan merokok yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.
Merak Jalanan tak pasti adakah mereka ini tidak tahu bahawa parkir awam dalam hospital adalah kawasan larangan merokok atau sengaja buat-buat tidak tahu.
Kawasan parkir tersebut sebenarnya masih lagi dalam kawasan hospital dan jika ditangkap, mereka boleh dikenakan denda.
Namun, perokok ini nampaknya seperti tidak takut untuk merokok secara terbuka, sesetengahnya pula merokok di dalam kereta.
Ini adalah pemerhatian Merak Jalanan di sebuah hospital kerajaan di Lembah Klang sepanjang empat hari berulang alik ke sana kerana ada ahli keluarga masuk wad akibat masalah kesihatan.
Sudahlah melakukan kesalahan merokok di tempat yang dilarang, puntung rokok pula dibuang merata-rata walaupun ada tong sampah disediakan.
Keadaan ini mencacatkan pemandangan dan menyusahkan pekerja pembersihan untuk mengutip setiap puntung yang dibuang ke tanah.
Tidak kurang juga ada individu yang ditegur merokok di parkir hospital bertindak memarahi orang yang menegur perbuatan mereka.
Merak Jalanan sebenarnya tak terkejut dengan fenomena ini kerana baru-baru ini sebuah persatuan pengguna dapat mengutip 1,000 puntung rokok dalam tempoh sejam, yang dibuang di sekitar sebuah hospital kerajaan di Pulau Pinang.
Merak Jalanan fikir seeloknya individu yang merokok di kawasan larangan ini dikenakan tindakan lebih tegas agar menjadi pengajaran kepada yang lain.
Perkara yang salah kalau dinormalisasikan akan jadi ikutan orang lain.
Hospital adalah tempat orang sakit mendapatkan rawatan.
Sangat tidak wajar jika udara dicemari dengan asap rokok yang boleh menyebabkan orang sakit bertambah sakit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!