Laporan PBB dakwa hak asasi Uighur mungkin dicabul di China
GENEVA - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan laporan pada lewat Rabu mengenai pencabulan hak-hak asasi manusia yang serius melibatkan etnik Uighur berlaku di wilayah Xinjiang China.
Ia menyatakan bahawa dakwaan penyeksaan dipercayai boleh berlaku dan kemungkinan jenayah terhadap kemanusiaan berlaku ke atas etnik tersebut.
Laporan yang telah lama ditunggu-tunggu itu memperincikan rentetan pencabulan hak-hak terhadap Uighur dan minoriti Islam lain di wilayah barat jauh tetapi tidak merujuk kepada pembunuhan beramai-ramai.
Dakwaan pembunuhan beramai-ramai itu merupakan salah satu dakwaan utama yang dibuat oleh Amerika Syarikat (AS) dan pengkritik lain.
"Tahap penahanan sewenang-wenang dan diskriminasi anggota Uighur dan kumpulan lain yang kebanyakannya Islam mungkin merupakan jenayah antarabangsa, khususnya jenayah terhadap kemanusiaan," kata laporan itu seperti dilaporkan AFP.
Ia berkata bahawa dunia kini mesti memberi perhatian segera kepada situasi hak-hak asasi manusia di Xinjiang.
Sebelum ini, layanan China terhadap penduduk di Xinjiang telah lama dibuat oleh kumpulan hak-hak asasi manusia, negara-negara Barat dan masyarakat Uighur yang hidup dalam buangan.
Michelle Bachelet iaitu Ketua Hak Asasi manusia PBB memutuskan bahawa penilaian penuh diperlukan terhadap keadaan di dalam Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang (XUAR).
Laporan itu dibuat melibatkan masa kira-kira setahun.
Bachelet bertekad untuk menyiarkan laporan tersebut sebelum penggal empat tahunnya sebagai pesuruhjaya tinggi PBB bagi hak-hak asasi manusia tamat pada akhir Ogos dan berbuat demikian dengan berbaki 13 minit pada jam 11:47 malam di Geneva.
"Saya akan menerbitkannya sebelum mandat saya tamat dan saya telah melakukannya," kata Bachelet dalam e-mel yang dihantar kepada AFP pada Khamis.
China telah dituduh selama bertahun-tahun menahan lebih daripada satu juta etnik Uighur dan orang Islam lain.
Namun, Beijing telah menolak sekeras-kerasnya dakwaan penyeksaan dengan menegaskan ia mengendalikan sebuah pusat vokasional yang direka untuk membendung aktiviti ekstremisme. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!