Jualan barangan asas serendah RM5 di Selangor
SHAH ALAM - Jualan barangan asas pada harga serendah RM5 akan dijual selama tiga bulan di sembilan daerah di Selangor secara serentak bermula pada 6 September.
Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, jualan bersubsidi ini ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri, bertujuan membantu meringankan beban rakyat.
Menurutnya, lokasi program Jelajah Jualan Ehsan Rakyat Selangor pula akan dihebahkan dari semasa ke semasa menerusi media sosial Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
“Kuantiti bagi setiap produk adalah 1,000 unit sebagai contoh 1,000 ekor ayam, 1, 000 kilogram (kg) ikan (terpilih) dan minyak masak lima kg pada harga hanya RM10 sebotol dan ini adalah permulaan jika permintaan meningkat kita tambah," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Izham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah berkata, antara produk yang dijual dengan harga RM5 ialah ayam, ikan, daging import, telur ayam gred B dan beras lima kg.
“Kalau mahu bandingkan harga pasaran, ayam seekor dengan berat 1.8 kg berharga RM16, ikan pula (RM10), daging import (RM13.90), telur ayam gred B (RM12.90) dan beras lima kg RM13. Mana nak dapat harga macam ini? Kita mampu tawarkan demi rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!