Elavarasan kemudi skuad B-23 negara

Elavarasan (tengah) bergambar bersama barisan kejurulatihan baharu pasukan B-23 negara.
Elavarasan (tengah) bergambar bersama barisan kejurulatihan baharu pasukan B-23 negara.
A
A
A

TEKA-TEKI siapa yang bakal menjawat jawatan pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara akhirnya terjawab apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melantik pembantu jurualatih pasukan kebangsaan, E Elavarasan bagi mengemudi pasukan itu.

Dengan pelantikan itu, Elavarasan, 60, akan dibantu dengan bekas ketua pencari bakat Barcelona, Juan Torres Garrido dari Sepanyol yang bertindak sebagai pembantu jurulatih.

Biarpun telah dilantik sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan, Elavarasan masih lagi akan kekal menjadi penolong ketua jurulatih skuad kebangsaan kepada pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon untuk beliau menjadi penghubung kepada kedua-dua pasukan berkenaan.

“Ia merupakan satu penghormatan buat diri saya diberikan tanggungjawab untuk menggalas jawatan ini.

“Sudah tentu ia akan menjadi tugas yang berbeza buat saya memandangkan tanggungjawab sebagai ketua jurulatih B-23 bukanlah mudah seperti yang disangka.

“Saya bukan sahaja perlu mengemudi skuad ini, malah saya juga dipertanggungjawabkan untuk mencari bakat-bakat baharu untuk diserapkan ke pasukan senior. Apapun saya cuba memberikan yang terbaik buat pasukan ini,” kata Elavarasan pada sidang media yang berlangsung di Wisma FAM pada Rabu.

Selain Elavarasan dan Juan Torres, FAM turut mengumumkan barisan kejurulatihan B-23 iaitu Kris Yong yang akan bertindak sebagai jurulatih penjaga gol, Park Jihyeon (jurulatih kecergasan) dan Lee Jeeyon (penganalisis prestasi pasukan).

Dalam pada itu, Elavarasan turut menyahut cabaran untuk membawa skuad B-23 untuk layak ke pusingan akhir Sukan Olimpik 2024 selepas kali terakhir melakukannya 42 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Meskipun mengakui ia bukanlah satu tugas yang mudah tatkala slot yang ditawarkan hanya tiga kepada negara Asia, beliau akan cuba melakukan yang terbaik bagi melayakkan Harimau Muda ke temasya berprestij itu.

“Saya rasa sudah lama pasukan bola sepak kita tidak layak ke temasya Olimpik sejak melakukannya 42 tahun lalu.

“Bagaimanapun berdasarkan ranking kita yang kini berada di tangga ke-26 dalam kalangan negara Asia yang lain, ia bukanlah tugas mudah kerana hanya tiga slot yang diberikan.

“Apa-apapun saya akan cuba melakukan yang terbaik bagi melayakkan pasukan ini ke Olimpik selain akan turut cuba membawa pasukan ini ke satu tahap yang lain,”ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!