PRU15: PN masih buka ruang termasuk dengan GTA
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) masih membuka ruang kepada mana-mana parti termasuk Gerakan Tanah Air (GTA) untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
"Alhamdulillah. Kita terbuka kerjasama dengan sesiapa sahaja," katanya menerusi sidang akhbar Program Visa Premium (PVIP) Malaysia, di kementeriannya pada Khamis.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai perkembangan politik tanah air yang mana Pengerusi GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan pihaknya terbuka untuk berbincang dengan PN.
Bagaimana pun bekas Perdana Menteri itu berkata, GTA belum memutuskan sama ada akan menjalinkan kerjasama.
Selasa lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbang membuka semula pintu rundingan sekiranya masing-masing sepakat bahawa musuh utama dalam PRU-15 adalah BN.
Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) telah menoktahkan spekulasi bahawa pakatan itu akan menjalinkan kerjasama dengan PN.
Ujar Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat PH.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!