Hamzah enggan ulas nama Najib tiada dalam data penjara
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin enggan mengulas dakwaan nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiada dalam pangkalan data Jabatan Penjara Malaysia.
"Sebelum ini ada tahu ke pangkalan data? Kalau tidak tahu, macam mana ada dakwaan?
"Kalau bab dakwaan atau surat layang, usah dengar," katanya menerusi sidang akhbar Program Visa Premium (PVIP) Malaysia, di kementeriannya pada Khamis.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai persoalan yang ditimbulkan oleh warga maya kononnya nama Najib yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun tiada dalam pangkalan data Jabatan Penjara.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan terpaksa meringkuk di dalam penjara selepas gagal dalam rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Najib, 69, dihantar ke Penjara Kajang pada 23 Ogos lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!