Keputusan Rosmah singkir hakim petang ini

Rosmah hadir bagi mendengar keputusan perbicaraan kes rasuahnya berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak pada Khamis. - Foto Bernama
Rosmah hadir bagi mendengar keputusan perbicaraan kes rasuahnya berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Keputusan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menyingkirkan Hakim Mohamed Zaini Mazlan daripada mendengar kes rasuah berkaitan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, akan diketahui petang ini.

Hakim Mohamed Zaini menetapkan waktu itu selepas mendengar permohonan itu daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Rosmah, 71, didakwa meminta suapan RM187.5 juta dan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta berhubung projek itu.

Dalam prosiding ini, Rosmah diwakili peguam, Datuk Jagjit Singh, Datuk Akberdin Abdul Kader dan Azrul Zulkifli Stork manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Nadia Mohd Izhar dan Poh Yih Tinn.

Semasa berhujah, Sri Ram berkata, isteri bekas Perdana Menteri itu terlalu bergantung kepada dokumen yang ditulis oleh Raja Petra Kamaruddin.

“Raja Petra merupakan seorang pelarian yang bersembunyi di United Kingdom dan menulis mengikut apa yang dibayar, jadi dua dokumen draf penghakiman itu adalah sampah.

“Rosmah selaku pemohon tidak sewajarnya mempertikaikan integriti dan cara kerja hakim, maka kami memohon supaya permohonan ini ditolak,” katanya.

Sementara itu, Jagjit berhujah bahawa, kebocoran dokumen draf penghakiman itu menimbulkan persepsi umum dan isu berat sebelah terhadap anak guamnya.

Artikel Berkaitan:

“Mahkamah perlu menerima permohonan ini kerana ia akan merosakkan integriti badan kehakiman.

“Siapa ‘kami’ yang dimaksudkan dalam draf keputusan penghakiman yang tular itu,” katanya.

Menurutnya, dokumen itu jelas menunjukkan ia dibuat oleh mereka yang mempunyai pengetahuan dengan nota keterangan mahkamah selain turut memberi pandangan memgenai kreadibiliti saksi-saksi yang dipanggil ke mahkamah.

“Saya melihatnya sebagai orang biasa dan pertamanya saya tertanya-tanya siapa yang mengarahkan untuk membuatnya? Pastinya ia diberi oleh mereka yang mempunyai kuasa.

"Saya tidak rasa ia disediakan oleh satu individu, mesti lebih daripada seorang kerana dokumen menyatakan ‘we’,” katanya.

Pada Selasa, Rosmah menfailkan permohonan supaya Mohamed Zaini menarik diri daripada kes itu.

Rosmah menggunakan alasan tular di media massa dan elektronik pada 26 Ogos lalu berhubung kebocoran keputusan penghakiman kes yang dihadapainya, disediakan oleh pihak lain, bukannya hakim tersebut.

Isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu memfailkan notis usul berkenaan menerusi Tetuan Akberdin & Co dengan menamakan Pendakwa Raya selaku responden.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!