Dua anggota polis direman kes peras ugut RM200
JOHOR BAHRU - Dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam direman selama empat hari bermula Khamis bagi membantu siasatan kes peras ugut terhadap orang awam.
Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Khalida Farhana Abu Bakar membenarkan permohonan reman tersebut pada Khamis.
Kedua-dua anggota berpangkat Koperal dan Lans Koperal yang berusia 32 dan 35 tahun itu ditahan reman untuk membantu siasatan berhubung kesalahan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua tertuduh sebelum itu tiba ke pekarangan mahkamah pada jam 8.30 lagi lengkap berpakaian lokap berwarna ungu.
Sekiranya disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua anggota berkenaan.
Sementara itu, menurut sumber, kedua-dua anggota berkenaan memeras ugut seorang individu sebanyak RM200 dalam satu kejadian di Taman Kota Masai, Pasir Gudang pada jam 9.40 malam Khamis lalu.
Seorang anggota berkenaan bertindak merempuh pagar kediaman rumah mangsa sebelum mengugut mangsa dan anak lelakinya.
Kedua-dua anggota berkenaan telah ditahan pada jam 1.46 pagi Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!