Mayat lelaki dalam ladang sawit tiada unsur jenayah

Laporan Sinar Harian pada 30 Ogos lalu.
Laporan Sinar Harian pada 30 Ogos lalu.
A
A
A

DUNGUN – Kematian seorang lelaki yang ditemukan dengan kesan luka pada bahagian leher di ladang kelapa sawit di Felda Kerteh 6, di sini pada Isnin lalu didapati tidak melibatkan unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa dipercayai terlibat dalam kemalangan sebelum dijumpai meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah.

“Ia susulan penemuan motosikal jenis Modenas Kriss yang dinaiki mangsa dalam keadaan terbalik dan sebilah sabit pemotong buah sawit pada jarak kira-kira 650 meter dari lokasi kejadian pada Selasa lalu.

“Siasatan polis di lokasi turut menemui kesan tompokan darah dari motosikal yang terbalik ke tempat mangsa meninggal dunia selain terdapat kesan darah pada mata sabit,” katanya di sini pada Khamis.

Menurut Baharudin, mangsa dipercayai menunggang motosikal sambil membawa sebilah sabit pemotong buah sawit namun kenderaan tersebut tergelincir ketika melalui jalan yang tidak rata dan berbatu itu.

“Hasil keputusan bedah siasat juga mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kesan hirisan pada leher dan tiada kecederaan lain ditemui pada anggota badan, kes diklasifikasikan sebagai insiden mati mengejut.

"Bagaimanapun, kita akan menghantar sampel darah untuk dianalisis bagi mengetahui punca sebenar kejadian," katanya.

Media sebelum ini melaporkan mayat seorang lelaki warga tempatan dengan kesan kelar di leher ditemukan di kawasan ladang sawit di Felda Kerteh 6 dekat sini, kira-kira 6.50 petang Isnin.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!