Book-A-Bookoo siri animasi pertama berkonsep buku cerita

Rizq (kanan) dan Lily (kiri), watak utama dalam Book-A-Bookoo yang sangat suka membaca buku.
Rizq (kanan) dan Lily (kiri), watak utama dalam Book-A-Bookoo yang sangat suka membaca buku.
A
A
A

SHAH ALAM - Siri animasi baharu berjudul Book-A-Bookoo tampil mengetengahkan penceritaan buku kanak-kanak terbitan syarikat tempatan sebagai bahan cerita utamanya.

Siri animasi pertama yang berkonsepkan buku cerita itu adalah hasil usaha Addeen Multimedia Sdn Bhd dengan kerjasama Grup Buku Karangkraf.

Addeen Multimedia dalam kenyataan memaklumkan siri cerita berkenaan mengisahkan tentang dua adik-beradik bernama Rizq berusia 9 tahun dan Lily, 3 tahun yang sukakan buku.

“Ada ketika apabila Lily merajuk, dia tidak boleh dipujuk melainkan hanya dengan dibacakan buku.

“Setiap episod akan mengetengahkan buku kanak-kanak yang berlainan. Bagi 12 episod awal ini, buku kanak-kanak terbitan Karangkraf menjadi pilihan untuk ditampilkan,” kata kenyataan tersebut pada Khamis.

Book-A-Bookoo diilhamkan berdasarkan pengalaman penerbit dan pengarah Addeen Multimedia, Azman Azahar sewaktu dia dan keluarga tinggal di Geelong, Australia selama tiga tahun.

Book-A-Bookoo pertama kali ditayangkan di Jualan Gudang Karangkraf, Shah Alam.
Book-A-Bookoo pertama kali ditayangkan di Jualan Gudang Karangkraf, Shah Alam.

“Suasana ‘mesra buku’ yang dialami oleh anaknya ketika di peringkat prasekolah di sana telah mencetuskan idea penghasilan Book-A-Bookoo ini.

Artikel Berkaitan:

“Projek ini pada awalnya turut disokong oleh Grovedale West Primary School, Mayor of Geelong, Scholastic Australia dengan satu kempen sumbangan buku untuk perpustakaan mini di Malaysia telah diadakan.

“Lebih 1000 buku kanak-kanak berjaya dikumpulkan waktu itu,” katanya.

Tambahnya, siri animasi tersebut dibangunkan bagi tujuan menggalakkan minat membaca buku dalam kalangan kanak-kanak tempatan.

“Di kala stesen televisyen dan laman media sosial sarat dengan program kanak-kanak yang bertemakan ‘superhero’, kuasa super dan robot, Book-A-Bookoo tampil untuk memberi pilihan kepada kanak-kanak, di samping mempromosikan buku kanak-kanak terbitan syarikat tempatan,” katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, siri Book-A-Bookoo dihasilkan dengan bantuan kewangan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!