Kementerian Luar garis lima pencapaian utama

Saifuddin menunjukkan kad Laporan Setahun Kementerian Luar Negeri "Mengemudi Dasar Luar Pasca Pandemik" ketika sidang media di kementerian itu pada Khamis. - Foto Bernama
Saifuddin menunjukkan kad Laporan Setahun Kementerian Luar Negeri "Mengemudi Dasar Luar Pasca Pandemik" ketika sidang media di kementerian itu pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada Khamis membentangkan Kad Laporan Setahun Kementerian Luar di bawah terajunya bermula Ogos 2021 hingga Ogos 2022, yang menggariskan Kerangka Dasar Luar Negeri 2021 sebagai satu daripada lima pencapaian utama.

Menurut beliau, kerangka bertajuk "Fokus dalam Kesinambungan: Kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia dalam Dunia Pasca Pandemik” yang dilancarkan pada 7 Disember 2021 itu memastikan pelaksanaan dasar luar sedia ada diperkemas supaya sejajar dengan tuntutan semasa.

Lapan fokus baru diberi penekanan iaitu Malaysia dan ekonomi global, diplomasi kesihatan, ekonomi digital, keselamatan siber, diplomasi bahasa dan kebudayaan, konsep kerukunan hidup bersama dalam budaya damai (peaceful coexistence), multilateralisme dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030.

Saifuddin berkata, pencapaian kedua adalah keanggotaan Malaysia dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi penggal 2022-2024 yang merupakan satu pengiktirafan masyarakat dunia terhadap peranan negara dalam kesepakatan dan kemajuan hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.

"Malaysia akan terus memperjuangkan hak golongan rentan seperti kanak-kanak, wanita, Orang Asli, OKU (orang kelainan upaya) dan warga tua, penghakupayaan belia dalam membuat keputusan dan memperjuangkan nasib golongan tertindas seperti Palestin, Rohingya dan Afghanistan," katanya.

Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa di Parlimen adalah pencapaian ketiga Kementerian Luar yang katanya bertujuan meneliti meneliti, menyiasat dan melaporkan apa-apa perkara di bawah tanggungjawab kementerian.

Jawatankuasa yang ditubuhkan atas cadangan kementerian itu telah membincangkan pelbagai perkara termasuk Kerangka Dasar Luar Negeri, perbelanjaan kementerian dan tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

Saifuddin menggariskan Kerangka Penyelesaian Konflik Myanmar sebagai pencapaian keempat kementerian yang menurutnya telah meletakkan Malaysia sebagai suara utama dalam usaha menyelesaikan konflik itu.

Artikel Berkaitan:

Kerangka yang dikemukakan dalam Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN pada 3 Ogos lepas bertujuan menambah baik pelaksanaan Konsensus Lima Perkara dalam menyelesaikan kemelut di Myanmar yang sehingga kini belum menunjukkan hasil.

Kerangka itu mencadangkan supaya ada penamat permainan (end game) yang jelas, iaitu tegaknya demokrasi melalui proses perundingan dan transisi yang inklusif dan adil yang melibatkan pemegang-pemegang taruh utama di Myanmar, termasuk Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) dan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC).

"Malaysia juga menyeru supaya Sidang Kemuncak ASEAN pada November nanti harus membuat keputusan besar untuk menyelesaikan konflik ini," katanya.

Saifuddin berkata, pencapaian kelima adalah memperkukuh keupayaan diplomasi kementerian terutamanya soal pembangunan sumber manusia.

"Beberapa langkah baharu atau diperbaharui telah dilaksanakan, contohnya, Program Pensarjanaan Diplomat, penyediaan buku Daftar Istilah Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa dan penaiktarafan sistem eKonsular," katanya.

Mengenai lanskap geopolitik dunia semasa berbanding ketika pertama kali menerajui kementerian itu antara tahun 2018 sehingga 2020, katanya cabaran terbesar adalah konflik di Myanmar dan Ukraine.

"Ini dua cabaran bagi kita di Wisma Putra. Cuma kesan konflik Ukraine lebih jauh kerana melibatkan isu keselamatan makanan, dan inflasi.

"Kesannya meluas melewati tugasan di Kementerian Luar sebab itu beberapa kementerian dan beberapa menteri lain terlibat secara langsung dengan isu-isu yang berkaitan dengan konflik di Ukraine," kata Saifudddin. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!