PRU15: Pas akan runding 27 kerusi kritikal dengan BN
ALOR SETAR - Pas akan mengadakan rundingan bersama Barisan Nasional (BN) membabitkan 27 kerusi Parlimen yang dianggap kritikal di seluruh negara.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, 27 kerusi berkenaan adalah kerusi-kerusi bercampur yang pernah dimenangi oleh Pas dan UMNO pada pilihan raya lepas.
Menurutnya, rundingan itu perlu dilakukan bagi mengelak berlaku pertembungan tiga penjuru yang merugikan kedua-dua parti, sebaliknya memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH).
"Contohnya, kalau kita nak tawan Selangor, saya fikir Pas, Perikatan Nasional (PN) dan BN perlu duduk bersama. Ada 27 kerusi yang agak kritikal sekiranya kita bertembung, PN rugi, BN pun rugi, terpulang pada mereka. Pas bersikap terbuka dalam hal ini.
"Di Selangor, kerusi milik Pakatan Harapan (PH) sekarang, Pas tak menang, UMNO pun tak menang. Sekiranya muafakat politik dapat dibuat, kita jangka kawasan-kawasan itu boleh kita tawan, contoh kerusi Raub dan Bentong," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Pusat yang ke-63 di sini pada Khamis.
Bagaimanapun kata Tuan Ibrahim, perkara itu belum diusulkan kepada pemimpin BN dan akan dilakukan dalam masa terdekat menerusi Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PN.
"Rundingan dengan BN belum dibuat cuma atas hubungan dalam konteks bersama dalam kerajaan Persekutuan, ada parti UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana hubungan semua parti sangat baik.
"Itupun sekiranya mereka (BN) bersetuju, namun parti bersedia dengan sebarang kemungkinan sebab dari segi persiapan pilihan raya, Pas sudah bersedia, hanya 27 kerusi itu," katanya.
Menurutnya lagi, kerusi parlimen terbabit meliputi beberapa negeri namun enggan mendedahkan secara terperinci buat masa ini.
"Saya ingin tegaskan Pas masih mendukung penyatuan ummah sebagai teras muafakat politik," tegasnya.
Tuan Ibrahim berkata, perundingan antara Pas dan BN akan dilakukan dalam konteks kerangka Muafakat Nasional (MN) kerana gagasan tersebut belum dibubarkan sehingga kini.
"Bagi kita peluang mengekalkan platform ini atas kepentingan Islam dan Melayu selain untuk masa depan negara.
"Masih banyak isu yang perlu kita lihat bersama. Platform itu perlu ada. Sekiranya dalam pilihan raya, UMNO sudah buat keputusan, dan kita terpaksa lawan, kita lawanlah. Itu biasalah politik," katanya lagi.
Menurutnya, platform MN adalah opsyen terbaik bagi mengelak pertembungan yang merugikan PN dan BN.
"Platform itu sudah pun ada, kita boleh guna. Ia antara opsyen, kalau tak diterima, lawanlah. Politik ini memang kena lawanlah, tetapi kita tak nak menang jadi arang, kalah jadi abu," tegasnya.
Tuan Ibrahim berkata, perundingan bersama MN itu akan cuba dimuktamadkan sebelum berlangsungnya PRU15 tanpa meletakkan tempoh masa tertentu.
"Untuk buat keputusan itu, ada tempoh sebulan sama ada untuk bersama dengan kita. Dalam tempoh itu saya bagi masa untuk kita jelaskan hala tuju masing-masing dahulu.
"Kita ada jawatankuasa peringkat PN yang sentiasa mengadakan perbincangan sebelum dibawa dalam mesyuarat terdekat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!