Lima tahun hadap masalah banjir termenung

Kediaman yang dihuni Shazrin digenangi air sekian lama dan sukar surut. Gambar kecil: Che Ana, Azmi dan Harmizi
Kediaman yang dihuni Shazrin digenangi air sekian lama dan sukar surut. Gambar kecil: Che Ana, Azmi dan Harmizi
A
A
A

KOTA BHARU - Penduduk mangsa banjir termenung di Kampung Kedai Baru, Mukim Lubuk Pukul di sini memohon kerajaan negeri membina sistem saliran yang sistematik di kawasan itu.

Ia berikutan masalah banjir termenung yang tidak berkesudahan dihadapi mereka lebih lima tahun lalu.

Mereka turut mendakwa, air bertakung mengakibatkan pencemaran dan kesihatan selain bau busuk.

Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa halaman rumah sepanjang kira-kira 300 meter di Jalan Kubang Kerian-Bachok bukan sahaja digenangi air malah dipenuhi selut tebal.

Peniaga gerai makan, Che Ana Daud, 64, mendakwa terpaksa menghentikan perniagaan jika hujan kerana air mudah bertakung dalam gerainya.

Dakwanya lagi, akibat masalah itu, dia mengalami kerugian kerana sewa premis perlu dibayar tetapi tidak dapat meneruskan perniagaan.

"Beberapa hari lalu, hujan menyebabkan air naik di dalam kedai sehingga 0.2 meter walaupun sudah dibina penghadang simen," katanya.

Jirannya, Shazrin Mohd Nasir pula berkata, air akan surut jika cuaca panas berterusan kira-kira dua minggu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, keadaan itu tidak mungkin berlaku kerana kini musim tengkujuh dan sudah sebulan air termenung di bawah rumah dan sekitarnya.

Selut tebal di hadapan gerai makan Che Ana.
Selut tebal di hadapan gerai makan Che Ana.

"Jika cuaca cerah, air tetap bertakung dan berselut kerana tidak dapat mengalir ke kawasan lain. Keadaan ini menyebabkan kawasan rumah sentiasa basah dan tidak selesa," katanya.

Suri rumah, Hamidah Shafie, 68, pula berkata, kediamannya sentiasa ditakungi air dan sukar untuk kering mengakibatkan bau busuk.

Keadaan itu mengundang serangga bahaya seperti lipan dan kala jengking memasuki rumah.

"Kami seolah-tiada halaman untuk berehat dan anak cucu juga tidak dapat bermain kerana air bertakung hingga ke bawah rumah," katanya.

Pesara tentera, Azmi Ariffin yang melalui kawasan itu mendakwa, jalan tersebut merupakan laluan utama penduduk di tiga kampung iaitu Kampung Tualang, Lubuk Pukul dan Pauh Dua.

Katanya, keadaan sudah berubah dan banyak pembangunan berlaku termasuk pembinaan rumah di tanah persendirian.

"Saya bersimpati dengan pemilik kediaman di sini. Mereka memerlukan sistem saliran yang lebih sistematik.

"Kami di sini berharap kerajaan negeri menyediakan peruntukan kerana sudah tidak sanggup berdepan dengan masalah yang tiada penyelesaian ini," katanya.

Hamidah melihat banjir termenung di belakang rumahnya.
Hamidah melihat banjir termenung di belakang rumahnya.

Tukang rumah, Harmizi Ismail, 46, pula tidak mahu menyalahkan sesiapa tetapi berharap ada pihak yang meninjau kawasan itu kerana penduduk sudah tidak mampu bertahan dengan masalah kebersihan dan bahaya serangga berbisa.

Menurutnya, masalah itu menyebabkan pendapatan peniaga terjejas, ancaman wabak denggi dan gangguan kepada pengguna jalan raya.

"Jalan ini juga menjadi laluan utama ke Pantai Irama Bachok yang merupakan kawasan pelancongan utama di daerah itu.

"Kami tidak mahu menuding jari menyalahkan pihak tertentu tetapi pembangunan dan pembinaan di sekitar kawasan ini memerlukan sistem saliran yang baik bagi mengelakkan penduduk menanggung masalah seperti ini," katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Lubuk Pukul, Mohamad Safiee Yusoff ketika dihubungi mengakui lebih 11 rumah terlibat dalam masalah itu.

Bagaimanapun katanya, sudah lebih tujuh kali surat permohonan dihantar kepada beberapa pihak berkaitan dan kini dalam perhatian mereka.

Mohamad Safiee memberitahu, pelaksanaan sistem saliran mengambil masa lama kerana kos tinggi iaitu lebih RM10 juta selain melibatkan banyak agensi.

"Pihak berkaitan juga memaklumkan pembinaan longkang yang sistematik akan melibatkan kabel elektrik dan sistem telekomunikasi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!