Lelaki ditahan miliki arak tanpa cukai
![Gambar hiasan](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2022/09/01/1895689.jpg)
MUAR - Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai memiliki sejumlah arak tanpa cukai di sebuah rumah di Bakri di sini, malam Rabu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan hasil risikan pihaknya selama seminggu.
Beliau berkata, kesemua arak pelbagai jenama itu terdiri daripada 173 karton arak jenis tin (4,152 tin) dan 23 karton arak jenis botol (575 botol) yang dianggar bernilai RM158,018.71 dan cukai dianggar RM51,326.90.
Katanya, pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Vellfire dianggar bernilai RM90,000.
"Suspek didapati mempunyai satu rekod lampau berkaitan memiliki arak tanpa cukai dan dia dipercayai kembali aktif dalam penjualan arak tanpa cukai sejak sebulan lepas untuk pasaran sekitar daerah ini,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Muhammad Aidil Roneh berkata, lelaki berkenaan didapati menjadikan rumah sewanya itu sebagai tempat simpanan barang-barang terbabit sebelum dijual.
Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan sama ada lelaki berkenaan mempunyai rakan subahat dan melakukan kegiatan itu melalui sindiket atau sebaliknya.
Katanya lelaki itu direman hingga Isnin ini untuk siasatan mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!