Pas tidak ketepikan Bersatu pada PRU15

Tuan Ibrahim ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Pusat pada Khamis.
Tuan Ibrahim ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Pusat pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Pas tidak akan mengetepikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas parti itu meletakkan Pas sebagai satu daripada parti dalam kerajaan sedia ada.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas mengenang jasa dan terhutang budi dengan Bersatu yang melakukan pengorbanan besar untuk mereka terus kekal dalam kerajaan sehingga hari ini.

Menurutnya, sehubungan itu Pas memutuskan untuk terus memperkukuh gagasan Perikatan Nasional (PN) sebagai platform untuk menghadapi PRU15 yang akan diadakan kelak.

"Keberadaan Pas dalam kerajaan Persekutuan adalah hasil daripada rakan kita yang keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

"Kita hargai perjuangan dan pengorbanan mereka sebab itu dalam apa juga muafakat politik, kita tidak boleh ketepikan rakan Bersatu," katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Pusat di sini pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim berkata, Pas bersikap terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan parti-parti di luar lingkungan PN yang tidak ekstrem bagi memastikan pembangkang tidak kembali berkuasa.

"Kajian mendapati tiada parti boleh memerintah sendiri di negara ini dan kita menyedari perlu ada gabungan terbaik untuk itu," katanya.

Tegas beliau, Pas melalui PN tidak gentar untuk menghadapi PRU15 dan bersedia berdepan apa jua situasi menjelang pilihan raya kelak.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Tuan Ibrahim memberitahu akan mengadakan rundingan bersama Barisan Nasional (BN) membabitkan 27 kerusi Parlimen yang dianggap kritikal di seluruh negara.

Beliau berkata, ia melibatkan kerusi-kerusi bercampur yang pernah dimenangi oleh Pas dan UMNO pada pilihan raya lepas.

Menurutnya, rundingan itu perlu dilakukan bagi mengelak berlaku pertembungan tiga penjuru yang merugikan kedua-dua parti, sebaliknya memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!