Taufan Hinnamnor bawa angin kencang ke Okinawa

Taufan Hinnamnor sedang menghampiri semula wilayah Okinawa di selatan Jepun dalam persekitaran atmosfera tidak stabil, yang dijangka membawa hujan lebat di barat dan timur Jepun. - Foto EPA
Taufan Hinnamnor sedang menghampiri semula wilayah Okinawa di selatan Jepun dalam persekitaran atmosfera tidak stabil, yang dijangka membawa hujan lebat di barat dan timur Jepun. - Foto EPA
A
A
A

TOKYO - Taufan Hinnamnor sedang menghampiri semula wilayah Okinawa di selatan Jepun dalam persekitaran atmosfera tidak stabil, yang dijangka membawa hujan lebat di barat dan timur Jepun, menurut agensi cuaca Jepun pada Khamis.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) menaik taraf klasifikasi Taufan Hinnamnor kepada "ganas" dan memberi amaran tentang angin kencang dan laut bergelora ketika ribut yang sangat kuat menghampiri pulau itu, lapor Xinhua.

Ia berkata, taufan itu mempunyai tekanan atmosfera 920 hektopascal di bahagian tengahnya dan membawa angin kencang sehingga 270 kilometer sejam setakat tengah hari Khamis.

Agensi itu berkata, Hinnamnor, Taufan ke-11 musim ini, dijangka bergerak perlahan ke selatan Okinawa sambil mengumpul kekuatan sehingga Jumaat.

JMA memberi amaran bahawa taufan itu akan menghampiri Kepulauan Sakishima dan pulau utama Okinawa pada Sabtu hingga Ahad, dengan kelajuan dan tiupan yang semakin meningkat, serta lonjakan ombak setinggi 10 meter di wilayah itu.

Agensi itu juga berkata keadaan cuaca dan udara lembap yang melanda menyebabkan keadaan atmosfera yang sangat tidak stabil di kawasan barat dan timur Jepun.

Agensi itu juga memberi amaran mengenai hujan lebat bersama ribut petir pada Sabtu yang dijangka mencetuskan banjir di kawasan rendah.

Orang ramai di kawasan yang terjejas telah diminta untuk terus berwaspada terhadap tanah runtuh, puting beliung, banjir dan kilat. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!