Sempat bergelar suami 18 hari sebelum maut
KOTA BHARU - Seorang peniaga sate hanya sempat bergelar suami selama 18 hari sebelum maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 71 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di Kampung Damar, Kuala Krai pada Rabu.
Mangsa, Mohamad Norhakim Nor Rusdi, 21, maut akibat tersepit dalam kereta jenis Perodua Kancil selepas bertembung dengan sebuah bas ekspres dalam kejadian jam 4.15 petang.
Menurut isterinya, Nur Aishah Mat Hassan, pada hari kejadian, nalurinya berasa tidak sedap hati selepas arwah menghantarnya ke tempat kerja sekali gus memberi petanda kehilangan insan dicintai buat selama-lamanya.
“Saya yang beriya-iya meminta arwah menghantar saya ke pejabat di Machang selepas dia pulang dari berniaga sate.
“Sepanjang berada di tempat kerja saya tidak tenteram dan berasa berdebar-debar selain tidak dapat menghubungi suami sehinggalah mendapat panggilan telefon daripada keluarga memaklumkan polis datang meminta melakukan pengecaman mayat mangsa kemalangan di Kuala Krai,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Pasangan pengantin itu baharu sahaja mendirikan rumah tangga pada 13 Ogos lalu.
Mengulas lanjut Nur Aishah berkata, arwah suaminya sepatutnya ke rumah saudara di Kampung Pahi, Kuala Krai untuk berjumpa dengan adiknya yang akan berangkat ke Kuala Lumpur.
Bagaimanapun katanya, adik arwah menghubunginya dan memaklumkan Allahyarham Mohamad Norhakim belum sampai walaupun selepas sejam menunggu.
Nur Aishah menjelaskan, dia kemudian menghubungi telefon bimbit suaminya berkali-kali dan menghantar mesej melalui WhatsApp, namun tidak berbalas sehinggalah menerima panggilan telefon daripada keluarganya berhubung urusan pengecaman mayat arwah daripada pihak polis.
Akhbar semalam melaporkan, Mohamad Norhakim yang memandu dari arah Kota Bharu menuju ke Gua Musang secara tiba-tiba hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan bas ekspres.
Bas ekspres yang membawa 17 penumpang itu datang dari arah Gua Musang ke Kota Bharu kemudian bergesel dengan Perodua Kelisa dipandu seorang wanita berusia 40 tahun yang ketika itu berada di belakang kereta dipandu mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!