'Bukan perjanjian, hanya persefahaman' - Annuar
PUTRAJAYA - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa pada Khamis menafikan wujudnya perjanjian tertentu antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk berkaitan pelantikan Peguam Negara.
Sebaliknya, Annuar berkata, terdapat satu persefahaman melibatkan Ismail Sabri dan Muhyiddin yang terhad kepada perkara berkaitan pembentukan Kabinet serta hal-hal pilihan raya, dan beliau menyifatkan persefahaman itu sebagai "normal”.
"Yang saya boleh sebutkan secara umum, adanya satu persefahaman bukan perjanjian. Hanya persefahaman antara PM (perdana menteri) yang berundur dan PM baharu.
"Pada saya ia merupakan perkara biasa macam nota-nota serah tugas,” katanya ketika ditanya pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di sini, sama ada wujudnya perjanjian antara Ismail Sabri dan Muhyiddin dengan beliau sendiri menjadi saksi.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam pada Khamis mendedahkan beberapa perjanjian yang kononnya bocor antara Ismail Sabri dan Muhyiddin, antaranya Lokman mendakwa Ismail Sabri bersetuju untuk tidak menggantikan peguam negara sekarang.
Saya lihat spekulasi sampai soal pelantikan AG (Peguam Negara), itu saya sahkan tidak betul dan tidak tepat.
"Ia hanya kepada perkara utama terutama pembentukan Kabinet dan hal-hal pilihan raya, saya dapati apa yang dilakukan oleh PM Kesembilan (Ismail Sabri) dan PM Kelapan (Muhyiddin) adalah satu perkara yang normal,” kata Annuar. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!