'Akan dibincang dalam mesyuarat MMK'
JOHOR BAHRU - Isu berkaitan projek hab pemindahan kapal ke kapal (STS) akan dibawa ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Johor untuk dibincangkan, pada minggu depan.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur Dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang berkata, kerajaan negeri juga enggan tergesa-gesa dalam membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.
Menurutnya, isu tersebut perlu diperhalusi supaya tidak timbul salah faham pada masa akan datang.
“Kita akan bincang dulu dalam mesyuarat Exco, baru kita buat keputusan. Kita pun tak nak tergesa-gesa sangat buat keputusan sebab benda ini perlu diperhalusi supaya jangan ada salah faham di antara rakyat dengan kerajaan.
“Insya- ALLAH minggu depan kita ada mesyuarat Exco, kita akan bincang. Kita serah kepada Menteri Besar untuk buat pengumuman,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara di sini hari ini.
Ditanya sama ada isu tersebut memerlukan khidmat Penasihat Undang-Undang Kerajaan Johor untuk melihat peruntukan undang-undang berkaitan, Mazlan berkata, kerajaan negeri juga akan mendapatkan nasihat dari Penasihat Undang-Undang Kerajaan Johor.
“Dalam mesyuarat Exco itu, penasihat undang-undang pun terlibat. Kita akan bincangkan dan baharu kita buat kenyataan. Saya pun tak nak buat tergesa-gesanya keputusan.
“Kita tengah menunggu maklumat lebih perinci dari Kerajaan Pusat,” katanya.
Sementara itu, Exco Perumahan Dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, projek itu mempunyai daya saing yang baik.
“Tinggal lagi kita kerajaan negeri perlu mendapatkan satu taklimat lengkap tentang projek tersebut khusus daripada Kerajaan Persekutuan, dan kita biasa kerajaan negeri tak ada masalah dalam menyambut atau bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
“Bahkan kita pun dari kerajaan yang sama, PH. Dan kita pun sudah menunjukkan komitmen kita kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam banyak hal. Jadi ini menjadi salah satu agenda yang akan kita bekerjasama. Mungkin ada dari segi teknikal yang kita boleh perbaiki dan perhalusi,” katanya.
Beliau berkata, secara prinsipnya, ia tidak menjadi halangan kepada kerajaan negeri untuk bekerjasama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!