Maszlee syukur pendedahan isu projek solar hibrid telah terbukti

Dr Maszlee - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB (Gambar kecil: Hantaran Maszlee di Facebooknya pada Khamis.)
Dr Maszlee - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB (Gambar kecil: Hantaran Maszlee di Facebooknya pada Khamis.)
A
A
A

SHAH ALAM – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik melahirkan rasa syukur susulan pendedahan dan apa yang dibawakan olehnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta polis mengenai isu projek solar hibrid pada 2018 ketika di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah terbukti pada Khamis.

Menurutnya, kezaliman mengambil hak anak-anak Malaysia di Sarawak yang bergelut dengan kepayahan demi menimba ilmu akhirnya terbalas.

“Alhamdulillah, kebenaran akhirnya tertegak, keadilan akhirnya terlaksana.

“Saya rasa bersyukur kerana apa yang saya dedahkan dan bawakan kepada pihak SPRM dan polis mengenai isu ini pada tahun 2018 ketika di KPM hari ini telah terbukti. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Datin Seri Rosmah Mansor sebelum ini didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah diakhir kes pembelaannya.

Dalam pada itu, Maszlee yang merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam turut berharap agar lebih ramai koruptor dan kleptokrat akan menerima hukuman setimpal dengan jenayah mereka.

“Semoga ada sinar buat Malaysia yang lebih bersih,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!