Kapal selam nuklear tercanggih dunia sertai tentera laut UK

Kapal selam HMS Anson bernilai lebih RM6 bilion adalah yang paling canggih di dunia. - Foto BAE Systems
Kapal selam HMS Anson bernilai lebih RM6 bilion adalah yang paling canggih di dunia. - Foto BAE Systems
A
A
A

LONDON - Sebuah kapal selam nuklear paling canggih di dunia yang boleh digunakan untuk menyerang sasaran di darat sehingga 1,609 kilometer (km) jauhnya telah menyertai armada Tentera Laut Diraja United Kingdom (UK) baru-baru ini.

Kapal selam itu, HMS Anson dilengkapi dengan 38 torpedo Spearfish dan peluru berpandu jelajah Blok V Tomahawk dan bernilai £1.3 bilion (RM6.74 bilion).

Ia boleh digunakan untuk memusnahkan kapal dan kapal selam musuh, mengumpulkan perisikan dan melindungi kapal Tentera Laut Diraja UK yang lain.

HMS Anson boleh mencapai kelajuan lebih 30 knot dan sepanjang 97 meter dan mempunyai ruang untuk semua 98 krewnya di dalam kapal selam tersebut.

Reaktor nuklear Rolls Royce yang digunakan kapal itu bermakna ia tidak perlu mengisi minyak sepanjang tempoh perkhidmatannya selama 25 tahun.

Ia mengambil masa kira-kira 20 juta jam bekerja selama 11 tahun untuk menyiapkan kapal selam itu yang seberat 7,800 tan.

Kapal selam itu diberi nama sempena nama Laksamana George Anson iaitu seorang pegawai Tentera Laut Diraja Britain dari abad ke-18 yang melakukan pelayaran selama empat tahun di seluruh dunia dan memimpin kemenangan menentang Perancis di Cape Finisterre pada tahun 1747. - Agensi

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!